
Pengerusi Mas Ermieyati Samsudin menjelaskan PAC perlu memohon kepada ketua audit negara, Kementerian Kewangan, dan Jabatan Perdana Menteri jika ia mahu JAN melaksanakan pengauditan, dan tertakluk kepada budi bicara pihak berkenaan untuk membenarkan JAN melakukan pengauditan bagi pihak PAC.
Ermieyati berkata ketiadaan kuasa untuk memohon JAN melakukan audit secara terus adalah kekangan kepada PAC terutama jika sesuatu isu itu tidak dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara.
“PAC berharap kerajaan akan melakukan pindaan terhadap Akta Audit supaya PAC dapat memohon JAN untuk melaksanakan audit secara terus ke atas mana-mana kementerian, ataupun agensi, ataupun jabatan, serta pihak yang menerima dana kerajaan, apabila ia diperlukan oleh PAC,” katanya pada sidang media di Parlimen.
Jawatankuasa rentas parti itu berkata kerjasama erat PAC dan JAN amat penting dalam menjalankan fungsi pengawasan bagi pihak Parlimen, dan memastikan kebertanggungjawaban sektor awam.