
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Roland Sagah Wee Inn, berkata penilaian itu menyerupai Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), yang dimansuhkan Kementerian Pendidikan pada 2021, lapor Borneo Post.
“Perkara ini bergantung kepada dasar persekutuan. Bagaimanapun, kami di Sarawak akan berusaha untuk mempunyai sistem penilaian sendiri.
“Ini kerana kita percaya itu satu-satunya kaedah untuk kita mengetahui prestasi sebenar pelajar,” katanya dalam satu program, semalam.

Sagah menekankan kepentingan penilaian dalam memutuskan sama ada murid terbabit perlu diletakkan dalam aliran sains atau sastera, sambil menambah menjadi kesulitan kepada mereka jika diletakkan secara rawak dalam aliran yang tidak bersesuaian.
Dalam pada itu, Sagah berkata kementeriannya belum menerima sebarang pelan tindakan berkaitan pembangunan kurikulum baharu 2027 Kementerian Pendidikan.
Bagaimanapun, beliau mengakui kerajaan persekutuan menjalankan tinjauan seluruh negara bagi mengumpul pandangan dan input bagi pelan itu.
“Saya rasa apa yang sedang dilakukan kerajaan persekutuan adalah menjalankan tinjauan mengumpul pandangan awam.
“Secara peribadi, saya belum melihat pelan tindakan kurikulum dicadangkan, jadi saya tidak boleh komen dan seadilnya saya tidak dapat komen benda yang saya tidak lihat,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dilapor berkata kementerian sedang memberi tumpuan terhadap Tinjauan Pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027, bagi membangunkan kurikulum baharu sekolah.