Polis terima 44 laporan tunggakan gaji pekerja MYAirline

Polis terima 44 laporan tunggakan gaji pekerja MYAirline

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata IPD Subang Jaya menerima laporan paling banyak iaitu 18 laporan.

MYAirline menggantung operasinya mulai 12 Okt lalu akibat tekanan kewangan.(Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis Selangor menerima 44 laporan daripada pekerja syarikat penerbangan MYAirline Sdn Bhd atas dakwaan tunggakan gaji.

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata laporan itu hasil semakan sejak 1 Okt lalu hingga 1 tengah hari tadi.

Katanya, IPD Subang Jaya menerima laporan paling banyak iaitu 18 laporan, disusuli IPD KLIA (tujuh), IPD Sepang (enam), IPD Petaling Jaya (enam), IPD Serdang (tiga), IPD Shah Alam (dua) dan masing-masing satu laporan di IPD Kajang serta IPD Kuala Langat.

Beliau berkata, pekerja MYAirline mendakwa tidak berpuas hati kerana gaji mereka tidak dibayar.

“Kes dirujuk ke mahkamah untuk pengadu mengambil tindakan sivil,” katanya menurut Sinar Harian.

Selasa lalu, kira-kira 20 pekerja MYAirline membuat laporan polis di IPD Sepang atas dakwaan syarikat itu gagal membayar gaji dan tidak membuat caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta Perkeso sejak Mei lalu.

MYAirline menggantung operasinya mulai 12 Okt lalu akibat “cabaran kewangan signifikan” selepas “meneroka semua jalan perkongsian berpotensi dan penjanaan modal” untuk menyelamatkan perniagaannya.

Susulan itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menggantung sijil pengendali udara (AOC) MYAirline serta-merta selama 90 hari mulai 16 Okt lalu, sementara menunggu siasatan lanjut.

MYAirline diberi 14 hari untuk mengemukakan representasi kepada pihak berkuasa itu berhubung isu terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.