
Hakim Abang Iskandar Abang Hashim, yang juga presiden Mahkamah Rayuan, berkata pihak suruhanjaya gagal memenuhi peruntukan undang-undang bagi membenarkan semakan terhadap keputusan mahkamah tertinggi yang sebelum ini menolak permohonan MyCC untuk merayu.
“Tiada keterangan mencadangkan permohonan kebenaran (didengar pada 9 Feb tahun lalu) dicemari dengan penafian keadilan asasi,” kata Abang Iskandar, yang bersidang bersama Harmindar Singh Dhaliwal dan Zabariah Yusoff, ketika menyampaikan keputusan sebulat suara
Mahkamah turut mengarahkan MyCC membayar kos RM50,000 masing-masing kepada Malaysian Airline System (MAS) and AirAsia.
Tahun lalu, mahkamah tertinggi menolak rayuan MyCC dalam usahanya mengenakan semula denda RM10 juta terhadap dua syarikat tersebut.
Mahkamah Persekutuan berkata, MyCC tidak berhak memfailkan permohonan semakan kehakiman kerana suruhanjaya tersebut bukan “pihak terjejas teruk dengan keputusan” Tribunal Rayuan Persaingan (CAT) yang mengetepikan denda itu.
Mahkamah Persekutuan juga mendapati perjanjian kerjasama antara MAS dan AirAsia terjalin beberapa bulan sebelum Akta Persaingan 2010 berkuat kuasa.
Katanya, MyCC tidak mempunyai locus standi memfailkan permohonan semakan kehakiman selepas Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) 2015 berkuat kuasa.
Mahkamah mendapati MyCC tidak lagi mempunyai kuasa kawal selia bagi perkara bawah Akta Mavcom.
Pada 2014, MyCC mendapati kedua-dua syarikat penerbangan berkenaan melanggar larangan perkongsian pasaran mengikut Seksyen 4(2)(b) Akta itu kerana memeterai perjanjian perkongsian pasaran dalam sektor perkhidmatan pengangkutan udara di Malaysia.
MAS dan AirAsia diwakili masing-masing Logan Sabapathy dan Ambiga Sreenevasan selaku peguam, manakala Lim Chee Wee mewakili MyCC.