Kad diskaun peniaga Menu Rahmah diperkenal esok

Kad diskaun peniaga Menu Rahmah diperkenal esok

Armizan Ali berkata inisiatif terbaru itu membolehkan peniaga membeli bahan mentah dengan potongan harga di enam pasar raya terpilih.

April lalu, FMT melaporkan harapan peniaga program Menu Rahmah yang menjual hidangan pada harga RM5 dibantu dengan pemberian insentif seperti pembelian bahan mentah.
KUALA LUMPUR:
Peniaga Menu Rahmah bakal menikmati diskaun pembelian barang mentah menerusi kad khas yang akan diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) esok.

Pemangku menterinya Armizan Ali berkata inisiatif terbaru itu membolehkan peniaga membeli bahan mentah dengan potongan harga di enam pasar raya yang menjalin kerjasama dengan kementerian.

Armizan Ali.

“Esok saya akan turun bersama timbalan menteri (KPDN), bagi satu inisiatif terbaru iaitu penawaran kad diskaun rahmah kepada pengusaha kafe dan restoran yang terbabit dalam inisiatif ini.

“Ia sebagai insentif kepada mereka yang menyokong usaha kerajaan (melalui Menu Rahmah) selama ini,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat.

April lalu, FMT melaporkan harapan peniaga program Menu Rahmah yang menjual hidangan pada harga RM5 dibantu dengan pemberian insentif seperti pembelian bahan mentah.

Susulan itu, KPDN memaklumkan akan mewujudkan mekanisme khas bagi memberikan potongan harga istimewa selain mengesahkan status peniaga untuk memudahkan tuntutan.

Armizan berkata, dalam usaha membantu rakyat berpendapatan rendah, kementeriannya akan memperkasa Program Jualan Rahmah (PJR) di seluruh negara.

“PJR dirancang dilaksanakan dengan kekerapan sekurang-kurangnya dua kali sebulan bagi setiap kawasan Parlimen di seluruh negara.

“Bagi memastikan capaian PJR ini lebih meluas dan supaya lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripadanya, PJR diperluaskan melalui kaedah secara bergerak,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.