Didakwa kemuka butiran palsu tuntut Penjana, pemilik syarikat mengaku tak salah

Didakwa kemuka butiran palsu tuntut Penjana, pemilik syarikat mengaku tak salah

Nur Kesuma Kartini Mohamad Zahir, 41, didakwa melakukan kesalahan tersebut pada Jun 2021 bawah Akta SPRM.

Nur Kesuma Kartini Mohamad Zahir, 41, mengaku tidak bersalah di Alor Setar hari ini atas tuduhan mengemukakan butiran palsu dalam dokumen yang diserahkan kepada Perkeso. (Gambar Bernama)
ALOR SETAR:
Seorang pemilik syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tujuh tuduhan mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu bagi menuntut insentif berjumlah RM24,500 bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 dua tahun lepas.

Pemilik syarikat Aisy Maju Abadi Trading, Nur Kesuma Kartini Mohamad Zahir, 41, didakwa memberikan tujuh borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja atas nama syarikat itu kepada seorang ejen Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menuntut insentif berkenaan.

Tertuduh didakwa memperdayakan Perkeso dengan mengemukakan kesemua dokumen yang mengandungi butiran palsu, iaitu tujuh individu yang dinamakan dalam dokumen itu bukan pekerja Aisy Maju Abadi Trading.

Dia dituduh melakukan semua perbuatan itu di Pejabat Perkeso, Jalan Teluk Wanjah di sini pada 22 Jun 2021, mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24 akta sama.

Seksyen itu membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai butir palsu itu atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim Rohatul Akmar Abdullah membenarkan tertuduh yang kini berniaga kecil-kecilan diikat jamin RM10,000 bagi semua tuduhan dan menetapkan sebutan semula kes pada 5 Dis.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM S Sujatha, manakala tertuduh diwakili peguam Ummi Kalthum Zakaria.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.