
Md Asibih Tamang, 73, dan isterinya Fatima Ulo, 65, dilaporkan hilang ketika menaiki bot gentian kaca dalam perjalanan ke rumah anaknya di Kampung Batu Putih kira-kira 8 pagi.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Zon Maritim Sandakan, Zainudin Mohd Zuki, berkata menantu pasangan itu membuat laporan kerana mereka sepatutnya tiba di rumah dua jam kemudian.
“Selepas mendapat laporan dari Pusat Operasi Zon Maritim Sandakan, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat pada 6.30 petang hari sama.
“Pencarian pasangan itu ditamatkan selepas mereka dapat dihubungi dan dilaporkan dalam keadaan selamat di Pulau Mapun, Filipina, kelmarin,” katanya menurut Harian Metro.
Beliau berkata, nelayan tempatan membantu pasangan itu dengan menghantar mereka pulang dan diserahkan kepada Maritim Malaysia dekat Tanjung Pamaguan.
Katanya, dua warga emas itu dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk diserahkan kepada keluarga semalam.
Zainudin berkata, mangsa beritahu mereka menjadikan Pulau Tikus sebagai panduan menuju ke Batu Putih, tetapi tersesat hingga kehabisan minyak dekat Pulau Lankayan.
Katanya, mereka kemudian mendapatkan bantuan petugas di Pulau Lankayan untuk mengisi minyak, yang menasihatkan mereka mengikut sebuah kapal menuju ke Sandakan sebagai pandu arah.
“Bagaimanapun, selepas beberapa ketika mengikuti kapal berkenaan, Md Asibih memintas kapal terbabit dengan alasan ia bergerak terlalu perlahan dan khuatir berlakunya ribut. Malangnya, tindakan itu membuatkan mereka tersesat dan bot kehabisan minyak semula sehingga hanyut ke Pulau Mapun.”