Benarkan mangsa penipuan ‘online’ saman industri, kata NCCC

Benarkan mangsa penipuan ‘online’ saman industri, kata NCCC

Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional berkata kerajaan sebelum ini mengesyorkan tindakan undang-undang diambil terhadap industri menerusi pindaan Akta Perlindungan Data Peribadi.

Kerugian akibat penipuan dalam talian dari 2019 hingga Mei lalu berjumlah RM2.6 bilion.
PETALING JAYA:
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) menggesa mangsa penipuan dalam talian termasuk kes pancingan data dibenarkan mengambil tindakan perundangan terhadap pihak industri bawah Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2010.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Indrani Thuraisingham, berkata dalam sesi libat urus berhubung pindaan akta itu, kerajaan mengesyorkan pihak berkuasa boleh mengambil tindakan sedemikian jika berlaku kebocoran data oleh mana-mana pihak termasuk institusi kewangan dan syarikat telekomunikasi.

“Tetapi pengguna belum ada ruang untuk ambil tindakan sivil terhadap industri, kita harap ini dapat dilaksanakan.

“Ikuti langkah Peraturan Perlindungan Data Umum (GDPR) Kesatuan Eropah (EU) yang sangat baik untuk melindungi pengguna. Singapura baru-baru ini umumkan tindakan mereka yang hampir 80% dibuat di Eropah, ia harus dicontohi,” katanya kepada FMT.

Indrani merujuk langkah Monetary Authority of Singapore (MAS) dan Infocomm Media Development Authority (IMDA) minggu lalu menerbitkan kertas rundingan bersama yang mencadangkan Rangka Kerja Tanggungjawab Bersama (SRF) untuk penipuan pancingan data.

SRF menetapkan tanggungjawab relevan kepada institusi kewangan dan syarikat telekomunikasi untuk mengurangkan penipuan pancingan data dan perlu membayar kepada mangsa penipuan yang terjejas apabila tanggungjawab ini tidak dipenuhi.

Jun lalu, Timbalan Menteri Kewangan, Ahmad Maslan, berkata kerugian akibat penipuan dalam talian dari 2019 hingga Mei berjumlah RM2.6 bilion, tertinggi membabitkan scam pelaburan sebanyak RM984 juta.

Ia diikuti scam telefon (RM637 juta), pembelian dalam talian (RM365 juta), love scam (RM268 juta), pinjaman tidak wujud (RM210 juta), e-mel perniagaan (RM134 juta) dan penipuan khidmat pesanan ringkas (RM7.5 juta).

Fong Choong Fook, pakar teknologi maklumat dalam pengujian keselamatan aplikasi untuk jenama e-dagang dan bank tempatan utama pula berpendapat usaha meningkatkan kesedaran kepada pengguna perlu dibuat seiring penguatkuasaan undang-undang.

“Ini kerana kebanyakan kes penipuan dalam talian membabitkan akaun bank, berpunca daripada pengguna yang memuat naik aplikasi dan menekan pautan meragukan. Jadi sekiranya kita hendak ikut langkah Singapura itu, kena tengok dari segi kes,” katanya.

Menurutnya, kes penjualan data pelanggan kepada pihak ketiga oleh kakitangan bank, sememangnya berlaku namun ia “amat jarang” berbanding sikap pengguna sendiri yang mendedahkan butiran peribadi.

“Kalau nak laksanakan langkah sebegini memang boleh asalkan ada penyelidikan teliti, kesalahan itu terbukti bukan daripada pengguna. Jadi ‘make sense’ kalau minta bank bayar pampasan kepada pengguna.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.