
Beliau berkata, ini berdasarkan pemantauan di 1,484 premis menjual ayam seluruh negara, setakat 1 tengah hari tadi.
“Terdapat 4.6% iaitu sebanyak 68 premis yang menjual ayam di atas RM9.40 sekilogram.
“Jadi maksudnya ada berlaku penjualan pada kadar yang tinggi daripada harga kawalan sebelum ini,” katanya pada sidang media selepas pemantauan harga barang di sebuah pasar raya di Putrajaya.
Isnin lalu, kerajaan mengumumkan penamatan subsidi harga ayam berkuat kuasa hari ini. Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu dilapor berkata penamatan subsidi dan kawalan harga ayam mengambil kira situasi dan trend semasa bekalan serta harga ladang dan kos pengeluaran ayam sudah mulai stabil.
Armizan berkata, pemantauan juga mendapati terdapat premis menjual ayam pada harga paling murah dan mahal. “Kalau lihat ‘range’ pula pelbagai. Paling murah kita dapat di Mari-Mari Supermarket di Mersing kadarnya adalah RM6.49 sekilogram.”
“Yang paling tertinggi di Semenanjung Malaysia adalah di Pasar Basah Rompin (Pahang) dan juga Pasar Basah Manir (Kuala Terengganu) iaitu pada kadar RM 11.00 sekilogram,” katanya.
Armizan juga berkata, di Sabah harga ayam paling murah dijual di Sandakan iaitu RM11.20 sekilogram dan paling mahal RM13 sekilogram di Tawau.
Manakala di Sarawak paling murah dijual RM9.80 sekilogram dan paling mahal RM12 sekilogram. Labuan pula paling mahal RM12.50 sekilogram.
Katanya, kementerian berharap boleh menambah penguat kuasa untuk memantau harga barang makanan.
Dalam perkembangan lain, Armizan berkata negara tidak akan terjejas jika Thailand mengkaji semula eksport gula, kerana Malaysia tidak mengambil gula mentah daripadanya.
“Bekalan daripada dua pengilang utama MSM Malaysia Holdings Berhad dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd diperoleh daripada sumber selain Thailand setakat ini.
“Jadi dengan apa yang berlaku di Thailand, kekurangan eksport atau kenaikan ‘raw sugar’ tidak akan memberi kesan kepada kita kerana kita tidak ambil ‘raw sugar’ dari sana,” katanya.