Tiada cadangan benar Sabah import beras sendiri, kata Mat Sabu

Tiada cadangan benar Sabah import beras sendiri, kata Mat Sabu

Mohamad Sabu berkata kaedah ketika ini dapat melindungi industri beras tempatan.

September lalu, Jeffrey Kitingan mencadangkan monopoli beras yang ketika ini dipegang Bernas ditamatkan supaya Sabah boleh mengimport sendiri bahan makanan ruji itu.
PETALING JAYA:
Putrajaya tidak bercadang membenarkan kerajaan Sabah mengimport beras kerana dasar pengimportan kini disifatkan terbaik untuk melindungi industri tempatan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata kaedah itu dapat menangani cabaran yang selama berupaya menghadapi cabaran ketidakstabilan harga beras antarabangsa.

“Mekanisme ini berfungsi sebagai benteng melindungi industri padi dan beras tempatan daripada terdedah kepada ketidaktentuan kedudukan pasaran antarabangsa,” katanya menjawab soalan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) sama ada kerajaan akan membenarkan kerajaan Sabah mengimport sendiri beras bagi mengimbangi bekalan dan harga.

September lalu, Timbalan Ketua Menteri Sabah Jeffrey Kitingan mencadangkan monopoli beras yang ketika ini dipegang Padiberas Nasional Berhad (Bernas) ditamatkan supaya Sabah boleh mengimport sendiri bahan makanan ruji itu.

Mohamad Sabu.

Mohamad berkata bagi mengimbangi bekalan dan harga beras dalam konteks Sabah, Labuan,dan Sarawak, Kerajaan telah bersetuju memberikan subsidi sebanyak RM950 per tan metrik beras putih import mulai 5 Oktober.

“Melalui kaedah ini, harga runcit Beras Putih Import (BPI) di kedua-dua negeri ini akan menjadi harga maksimum RM31 bagi sekampit 10kg.

“Langkah ini diambil memandangkan pengeluaran Beras Putih Tempatan (BPT) di Sabah dan Sarawak adalah terhad di samping penduduk Sabah dan Sarawak dapat menikmati harga BPI pada harga berpatutan,” katanya.

Mohamad berkata selain itu Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah sedang mengenal pasti 50,000 hektar kawasan jelapang padi baharu di Sabah dan Sarawak untuk meningkatkan pengeluaran.

“Melalui pengumuman Belanjawan 2024, sebanyak RM50 juta akan dibelanjakan kerajaan untuk meningkatkan peruntukan subsidi padi bukit atau padi huma iaitu peningkatan sebanyak RM10 juta berbanding 2023,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.