Sarawak dapat lampu hijau bincang kabel dasar laut dengan Singapura

Sarawak dapat lampu hijau bincang kabel dasar laut dengan Singapura

Projek yang akan membolehkan Sarawak mengeksport elektrik secara prinsipnya telah diputuskan, kata Premier Abang Johari Openg.

Sarawak memiliki sumber tenaga boleh diperbaharui yang besar, khususnya dalam penjanaan tenaga elektrik, kata Premier Abang Johari Openg. (Gambar Bernama)
SIBU:
Sarawak menerima lampu hijau daripada kerajaan pusat untuk melakukan perbincangan dengan Singapura berkenaan pembangunan projek kabel elektrik dasar laut dari Tondong ke negara tersebut.

Premier Sarawak Abang Johari Openg berkata pelaksanaan projek yang akan membolehkan Sarawak mengeksport bekalan elektrik sehingga 1,000 megawatt elektrik secara prinsipnya telah diputuskan.

“Sukacita saya nyatakan di sini bahawa projek untuk kita membekalkan tenaga elekrik ke Singapura sehingga 1,000MW sekarang boleh dimulakan kajian, terutama sekali untuk kita mewujudkan projek kabel elektrik dasar laut dari Tondong di Sarawak ke Singapura.

“Jadi kita sudah mendapat keputusan, di mana kerajaan persekutuan telah memberi ‘lampu hijau’ untuk kita berbincang mengenai pelaksanaan projek dan secara prinsipnya telah diputuskan,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Menurut UKAS, Johari turut mengadakan mesyuarat bersama Presiden Persatuan Tenaga Hidro Antarabangsa (IHA) Malcolm Turnbull, sempena Kongres Tenaga Hidro Dunia 2023 di Pusat Konvensyen Bali Nusa Dua di Bali, Indonesia hari ini.

Dalam mesyuarat itu, Johari berkongsi mengenai kelebihan Sarawak yang memiliki sumber tenaga boleh diperbaharui yang besar, khususnya dalam penjanaan tenaga elektrik.

Beliau berkata dengan sungai yang banyak dan taburan hujan yang tinggi, Sarawak dapat menjana tenaga elektrik secara lestari menerusi empangan hidroelektrik. Sungai juga boleh dikaji sebagai alternatif kepada sumber takungan untuk penjanaan tenaga hidro.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.