
Beliau berkata ia diteruskan selagi terdapat keperluan guna tenaga pegawai perubatan bagi perkhidmatan kesihatan negara.
“Penajaan pelajar dalam bidang perubatan ini juga adalah tertakluk kepada kajian dan unjuran yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya ketika pergulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan 2024) di Dewan Rakyat
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) yang menanyakan tentang pendirian kerajaan terhadap tajaan JPA kepada pelajar-pelajar perubatan sama ada diteruskan atau sebaliknya ketika membahaskan RUU Perbekalan.
Sebelum ini, KKM memaklumkan, tajaan JPA dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi dihentikan berikutan bekalan pegawai perubatan akan mengalami kebanjiran mulai 2026 hingga 2030.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Armizan berkata sehingga kini belum ada persetujuan muktamad di antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri berhubung formula semakan kadar pemberian khas kepada Sabah.
Beliau berkata jawapan itu tetap diberikan kerana dikhuatiri pihak menganggap perbincangan yang menyentuh hak dan kepentingan Sabah terhenti.
“Namun, untuk mengelakkan subjudis dan mengambil kira kedudukan saya sebagai anggota pentadbiran, saya akan hanya memberikan jawapan berhubung latar belakang dan status semasa kemajuan berhubung tuntutan ini,” katanya.
Armizan juga berkata dalam Belanjawan 2024 yang dibentangkan pada 13 Oktober lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan secara rasmi persetujuan bersama Sabah dan Sarawak untuk meningkatkan kadar pemberian khas secara interim pada kadar bermula RM300 juta dan berkuatkuasa serta merta bagi 2023.
“Peningkatan kadar dalam semakan secara interim ini dibuat berlandaskan komitmen untuk terus meningkatkan kadar pemberian khas bagi Sabah dan Sarawak.
“Perbincangan akan diteruskan dari semasa ke semasa untuk meningkatkan kadar ini,” katanya.