Stok penimbal negara 100% beras import, dedah menteri

Stok penimbal negara 100% beras import, dedah menteri

Menteri Mohamad Sabu berkata peningkatan mendadak harga beras putih import menyebabkan berlaku pembelian beras tempatan besar-besaran.

Stok penimbal beras negara mampu menampung keperluan rakyat hingga lima bulan, kata menteri.
KUALA LUMPUR:
Stok penimbal beras negara kini 100% beras putih import (BPI), dedah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu.

Beliau berkata ketiadaan beras putih tempatan (BPT) dalam stok penimbal berikutan pengguna beralih kepada beras itu yang lebih murah, susulan peningkatan mendadak harga BPI di pasaran bermula 1 Sept lalu.

“Maka berlakulah pembelian BPT secara besar-besaran yang menyebabkan ‘shortage’,” katanya menjawab soalan tambahan Zulkafperi Hanapi (PN-Tanjong Karang) pada sesi penggulungan Belanjawan 2024 peringkat dasar di Dewan Rakyat.

Zulkafperi sebelum itu membangkitkan krisis ketiadaan bekalan BPT yang memberi gambaran seolah-olah kerajaan tidak menyimpan stok beras berkenaan.

Mohamad sekali lagi menegaskan stok penimbal beras negara mampu menampung keperluan rakyat hingga lima bulan.

Awal bulan ini, Mohamad berkata stok beras negara membabitkan 250,000 tan metrik stok penimbal kerajaan dan 570,482 tan metrik stok dagangan.

Menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) berkenaan status siasatan terhadap syarikat yang menyembunyikan BPT serta dakwaan berkait mencampurkan BPI dengan BPT, beliau berkata perkara itu masih dalam siasatan.

“Kalau ada langgar undang-undang dan sebagainya pihak kementerian akan berbincang dengan peguam negara untuk adakan pendakwaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.