Pelajar tahfiz didakwa amang seksual junior

Pelajar tahfiz didakwa amang seksual junior

Dia didakwa melakukan kesalahan itu terhadap mangsa berusia lapan tahun ketika kejadian di tandas sebuah pusat tahfiz di Kluang.

Pelajar tahfiz Zulkarnain Mohd Ali mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Batu Pahat atas dakwaan melakukan amang seksual fizikal terhadap junior, Ogos tahun lalu. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Seorang pelajar tahfiz dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Batu Pahat atas dakwaan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar junior, dalam kejadian Ogos tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Zulkarnain Mohd Ali, 19, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat, lapor Berita Harian.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual terhadap pelajar junior yang ketika itu berusia lapan tahun dalam tandas sebuah pusat tahfiz di Kluang, pada 10.30 malam, Ogos tahun lalu.

Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum mengikut seksyen sama iaitu penjara sehingga 20 tahun serta sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir mengendalikan pendakwaan sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Danial memohon mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan selepas mengambil kira kesalahan serius dilakukan tertuduh.

Bagaimanapun, selepas mengambil kira rayuan tertuduh serta hujahan pihak pendakwaan, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah juga menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di IPD Kluang setiap awal bulan serta tidak boleh mendekati atau berhubung dengan mangsa.

Mahkamah menetapkan 5 Dis sebagai tarikh sebutan semula kes selain serahan dokumen serta lantikan peguam tertuduh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.