Malaysia tambah import bawang dari China, Thailand

Malaysia tambah import bawang dari China, Thailand

Ia selepas India mengehadkan eksport bawang dengan mengenakan harga eksport minimum USD800 setiap tan mulai Ahad lalu hingga hujung tahun ini.

Lokman Hakim Ali berkata, bekalan bawang ke Malaysia tidak terancam, tetapi harga mungkin meningkat sedikit dan itu bersifat sementara.
PETALING JAYA:
Malaysia akan menambah pengimportan bawang dari China dan Thailand selepas India mengehadkan eksport bahan itu bagi memastikan bekalan mencukupi.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Lokman Hakim Ali berkata India merupakan pengeksport terbesar bawang ke Malaysia, iaitu 36% berbanding China dan Thailand sekitar 20% serta 7%.

“Kebergantungan bawang dari India adalah besar kerana sukar untuk kita menanam bawang dan mendapatkan kualiti sama seperti mereka. Antara penyebabnya ialah faktor tanah, penyakit dan cuaca berbeza di Malaysia.

“Ketika ini, bekalan bawang ke Malaysia tidak terancam, walaupun ada kemungkinan berlaku sedikit peningkatan harga, tapi itu hanya sementara,” katanya menurut Berita Harian.

Sebelum ini, India dilaporkan mengehadkan eksport bawang dengan mengenakan harga eksport minimum USD800 setiap tan berkuat kuasa Ahad lalu sehingga hujung tahun ini bagi memastikan bekalan bawang mencukupi buat pengguna domestik pada harga berpatutan kerana kuantiti stok bawang semakin berkurangan.

Lokman berkata, Malaysia berusaha mengurangkan kebergantungan import dengan menanam bawang sendiri, di mana Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (Mardi) akan melakukan penyelidikan ke atas benih bawang sesuai ditanam dalam negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.