Malaysia mesti hormati komitmen bekal air ke Singapura, kata Anwar

Malaysia mesti hormati komitmen bekal air ke Singapura, kata Anwar

Perdana menteri berkata Malaysia dan Singapura perlu bekerjasama untuk meningkatkan kapasiti Sungai Johor.

Saluran paip di sepanjang Tambak Johor yang menghubungkan Singapura dan Malaysia. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berkata Malaysia harus menghormati komitmennya membekalkan air kepada Singapura.

Dalam sidang media bersama Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, Anwar berkata terdapat keperluan untuk kedua-dua negara untuk bekerjasama dalam meningkatkan kapasiti Sungai Johor yang membekalkan air ke republik itu.

“Kita perlu bekerjasama untuk memastikan Johor dapat meningkatkan kapasitinya untuk menyediakan air yang mencukupi untuk keperluan Johor yang semakin meningkat, dan juga Singapura.”

Pada masa ini, Singapura membeli air mentah dari Johor pada harga 3 sen per 1,000 gelen. Republik itu juga menjual semula air terawat kepada Johor pada harga 50 sen bagi setiap 1,000 gelen.

Semasa kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Dr Mahathir Mohamad mentadbir pada 2018, terdapat rancangan untuk mengkaji semula harga air mentah yang dibekalkan kepada republik itu.

Pada tahun berikutnya, kerajaan menzahirkan hasrat berusaha menjadikan Johor tidak lagi bergantung pada Singapura untuk air terawat.

Dalam perkembangan lain, Lee mengumumkan bahawa Malaysia dan Singapura sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan zon ekonomi khas (SEZ) untuk mengenal pasti aspek yang perlu ditambah baik.

Kedua-dua negara kemudian akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) berdasarkan dapatan kajian itu menjelang awal tahun depan.

Lee berkata, Singapura dan Malaysia perlu mengkaji cara menambah baik aliran barangan serta tenaga kerja antara kedua-dua negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.