Mahkamah benar Bersatu cabar SPRM beku akaun bank

Mahkamah benar Bersatu cabar SPRM beku akaun bank

SPRM menyita dua akaun Bersatu mengikut Seksyen 50 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan rayuan Bersatu untuk memulakan prosiding mahkamah atas alasan permohonan tersebut tidak remeh.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi membenarkan Bersatu untuk mencabar tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita beberapa akaun bank milik parti itu.

Hakim Ahmad Kamal Md Shahid membenarkan rayuan Bersatu untuk memulakan prosiding mahkamah atas alasan permohonan tersebut tidak remeh dan menyusahkan.

Pada April, SPRM memberitahu pihaknya menyita dua akaun Bersatu mengikut Seksyen 50 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram (Amla).

Permohonan itu difailkan Bersatu untuk membatalkan tindakan SPRM menyita akaun bank tersebut.

Bersatu mendakwa keputusan membekukan akaun bank itu “dilakukan dengan niat jahat”.

Bersatu diwakili peguam Rosli Dahlan, manakala Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan dan Ahmad Hanir Hambaly mewakili SPRM.

Selepas mendengar permohonan Bersatu pada 30 Mei lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan parti itu mencabar arahan SPRM untuk membekukan akaun bank Bersatu. Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin juga dibenar mencabar larangan perjalanan yang dikenakan terhadap beliau.

Kamal berkata, permohonan Bersatu mencabar arahan membekukan akaun bank itu, yang dibuat pada Mac lalu, bukan sesuatu yang remeh dan menyusahkan.

Berkenaan larangan perjalanan Muhyiddin, hakim menyatakan presiden Bersatu itu tidak diberitahu mengapa beliau dilarang ke luar negara.

Bagaimanapun, mahkamah menolak permohonan Bersatu untuk akses sementara ke akaun yang dibekukan.

Mahkamah juga menetapkan 28 November ini untuk pengurusan kes.

Muhyiddin juga berdepan dengan empat tuduhan di mahkamah kes salah guna kuasa berhubung program Jana Wibawa.

Bekas perdana menteri itu didakwa menyalahgunakan kuasa untuk memperoleh RM232.5 juta untuk Bersatu.

Bagaimanapun, pada Ogos, Hakim Mahkamah Tinggi Jamil Hussin membatalkan tuduhan itu atas alasan dakwaan itu cacat.

Pihak pendakwaan merayu keputusan tersebut dan Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan itu pada 28 dan 29 Februari tahun depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.