Geran khas Sabah: Ahli Parlimen Tuaran beri ‘amaran’

Geran khas Sabah: Ahli Parlimen Tuaran beri ‘amaran’

Wilfred Madius Tangau berkata wakil rakyat Sabah akan fail semula saman terhadap kerajaan persekutuan jika tiada kemajuan.

Ahli Parlimen Tuaran Wilfred Madius Tangau berkata Putrajaya diberi masa sehingga Julai untuk bayar geran khas kepada Sabah.
KUALA LUMPUR:
Wakil rakyat Sabah akan pertimbang memfailkan semula kes untuk memaksa kerajaan persekutuan membayar 40% daripada hasil bersih sebelum Julai tahun depan sekiranya Putrajaya gagal memenuhi janji, kata Ahli Parlimen Tuaran Wilfred Madius Tangau (PH-Tuaran).

“Saya perlu ingatkan kita tarik balik saman terhadap kerajaan persekutuan kerana harapan Julai (2024) selesai, kalau tidak kita akan fail balik.

“Kami ada sebab, hak untuk ‘refile’,” kata Tangau, susulan ucapan penggulungan oleh Menteri Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas Armizan Ali.

Armizan berkata Sabah perlu ingat mengenai Perkara 112C dan 112D(ii) Perlembagaan yang menyatakan “…apa-apa kajian semula (geran khas)…hendaklah mengambil kira kedudukan kewangan kerajaan persekutuan serta juga keperluan bagi negeri-negeri atau negeri yang berkenaan itu…”

Beliau berkata, geran khas RM300 juta diperuntukkan untuk Sabah itu sekadar penyelesaian sementara, dan formula tetap masih perlu dipersetujui kerajaan negeri dan persekutuan.

Tahun lalu, 12 Ahli Parlimen memfailkan tuntutan di Mahkamah Tinggi supaya Sabah dibayar geran bersamaan 40% hasil persekutuan dari negeri itu.

Peguam mereka, Nelson Angang, memetik Perkara 112C dan Seksyen 2(1) Bahagian IV Jadual 10 Perlembagaan dalam tuntutan itu.

Dua belas Ahli Parlimen itu adalah Christina Liew, Ewon Benedick, Frankie Poon, Tangau, Awang Hussaini Sahari, Chan Foong Hin, Phoong Jin Zhe, Jannie Lasimbang, Peto Galim, Tan Lee Fatt, Vivian Wong, dan Noorita Sual.

Pada 20 September, Pakatan Harapan Sabah menarik balik saman itu susulan kemajuan dalam rundingan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963, dan jaminan diberikan kerajaan persekutuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.