
Berdasarkan laporan dikeluarkan di laman sesawang Parlimen hari ini, PAC berkata punca berlakunya lebihan vaksin disebabkan penerimaan rendah terhadap vaksinasi Covid-19 khususnya dos penggalak.
Bagaimanapun katanya, tempoh jangka hayat vaksin yang luput boleh dipanjangkan sehingga 18 bulan mengikut tarikh vaksin itu dihasilkan.
“Punca lebihan vaksin adalah kerana sambutan vaksinasi Covid-19 yang rendah (khususnya dos penggalak) disebabkan pengambilan dos penggalak adalah secara sukarela serta takut kepada kesan sampingan vaksin ekoran penyebaran maklumat tidak benar.
“Dan penerimaan bekalan vaksin di mana vaksin yang ditempah tidak diterima mengikut jadual susulan permintaan global yang sangat tinggi,” menurut laporan itu.
Menurut laporan itu, sebanyak 72.8 juta atau 88% dos vaksin telah diberikan daripada unjuran keperluan sebanyak 83.3 juta dos.
Selain itu, PAC turut mendapati sebanyak 136 ventilator tidak dapat digunakan selepas perolehan dibuat dari China.
“Masalah semua ventilator berkenaan adalah titik palam ventilator yang diterima berbeza dengan titik palam yang digunakan di Malaysia.
“Ventilator berkenaan dapat dihidupkan setelah titik palam dinaik taraf. Namun, setiap ventilator mempunyai masalah berbeza dari segi ‘hardware’, aksesori dan perisian,” kata laporan tersebut.
Laporan turut menyebut berlaku lebihan dalam jumlah simpanan stok bagi ‘boot cover’ pada 9 Jun lalu ialah 2.23 juta dan baki stok dijangka dapat bertahan sehingga akhir 2025 berdasarkan kadar penggunaan semasa.
“Namun, terdapat risiko lebihan 850,000 unit stok boot cover, yang akan luput pada penghujung tahun 2024 bernilai RM 927,000 jika tidak dapat digunakan,” katanya.
Antara rumusan PAC adalah perolehan semua barangan tersebut dibuat dalam situasi luar biasa dan kekangan akibat penularan Covid-19.