
Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia, berkata latar belakang akademik Samsuri akan membolehkan PAS menonjolkan perspektif bukan keagamaan semata-mata di Parlimen.
Saintis politik itu berkata, pilihan raya itu juga sebagai persediaan bagi naib presiden PAS tersebut berkhidmat di peringkat pusat, jika parti itu membentuk kerajaan pada masa depan.
“Samsuri berhak dipilih bagi mengukuhkan profil nasionalnya dan sebagai persediaan kepada dirinya menggalas tanggungjawab di peringkat pusat andai PAS berada di puncak kuasa persekutuan, sebagai contoh jika PAS menyertai kerajaan perpaduan,” katanya kepada FMT.
Pada Isnin, FMT melaporkan ketokohan Samsuri sebagai calon pilihan pada PRK Kemaman, pada 2 Dis.
Sumber terdekat berkata, beliau mungkin dicadangkan kepimpinan parti bagi mengukuhkan suara pembangkang di Parlimen.
Pada PRU tahun lalu, Che Alias Hamid menang kerusi berkenaan dengan 27,179 undi majoriti dalam pertembungan empat penjuru, yang turut melibatkan bekas menteri besar Terengganu, Ahmad Said.
Bagaimanapun, keputusan itu dibatalkan pada 26 Sept apabila Mahkamah Pilihan Raya di Kuala Terengganu mendapati bantuan kerajaan pada pengundi ketika kempen berlangsung dianggap rasuah pilihan raya.
Dalam pada itu, Felo Majlis Profesor Negara Jeniri Amir, berkata imej Samsuri akan menguatkan kehadirannya dalam politik pusat, mengambil kira ketika ini beliau kurang diberi pendedahan di peringkat nasional.
Jeniri percaya Samsuri lebih sederhana dalam pendiriannya bagi melunakkan imej parti dalam kalangan pengundi bukan Muslim.
“Samsuri menjadi calon yang tidak perlu lagi diperkenal kerana sedia dikenali ramai, dan terkenal di seluruh Terengganu dengan rakyat sedar kemampuan dan kredibilitinya.
“Jika tidak, beliau tidak dinamakan sebagai calon menteri besar,” katanya.