
Peguam Gurdial Singh Nijar berkata, cara alternatif untuk menangani jenayah antarabangsa melalui Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) “bukan sesuatu yang ideal” kerana badan PBB itu bersifat “sangat politik”.
“Pada masa ini, setiap resolusi yang dibentangkan dalam UNSC mengenai gencatan senjata kemanusiaan dan perkara yang serupa menghadapi tentangan dan veto, terutamanya kerana kuasa veto dipegang oleh lima kuasa besar,” katanya kepada FMT.
Lima negara yang mempunyai kuasa veto terdiri daripada Amerika Syarikat, China, Perancis, Rusia dan United Kingdom.
“AS khususnya menggunakan kuasa veto untuk menyekat resolusi-resolusi ini,” tambah Gurdial.
Beliau berkata, dengan menandatangani Statut Rom, negara boleh mendapatkan keadilan antarabangsa bagi pelanggaran undang-undang dan jenayah perang.
Beliau mengulas penjelasan Menteri Luar Zambry Abdul Kadir di Parlimen baru-baru ini bahawa Malaysia tidak boleh menghadapkan Benjamin Netanyahu ke ICC berhubung kekejaman Israel terhadap Palestin kerana negara ini bukan pihak dalam statut itu.
Kerajaan Malaysia menarik diri daripada perjanjian global itu empat tahun lepas, dengan perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau terpaksa berbuat demikian disebabkan kekeliruan yang timbul berhubung isu itu dalam negara.
Mahathir berkata, isu itu telah dipolitikkan untuk mencemarkan nama baik kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Bekas Ahli Parlimen Klang Charles Santiago bersetuju bahawa dalam usaha Malaysia menyokong rakyat Palestin, langkah ke hadapan adalah dengan menjadi anggota ICC.
“Jika Zambry percaya terdapat kekurangan dalam pendekatan kita, dinasihatkan (kerajaan Malaysia) menerima pakai Statut Rom secara rasmi,” katanya.
“Memandangkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berusaha melibatkan diri dengan negara-negara Timur Tengah dalam memperjuangkan hak Palestin, kita harus mengambil kira perkara ini,” katanya.
Santiago memetik bagaimana Gambia, anggota ICC, dapat mengheret Myanmar ke mahkamah antarabangsa pada 2019 atas dakwaan pelanggaran Konvensyen Genosid terhadap Rohingya.
Statut Rom, perjanjian antarabangsa yang diterima pakai pada 1998, kini telah ditandatangani oleh 123 negara. Statut itu memberi ICC kuasa untuk mendakwa jenayah genosid, jenayah kemanusiaan, jenayah perang dan jenayah kekerasan.