
Beliau berkata, kebenaran untuk DDW dan DDR, termasuk Sabah dan Sarawak itu bagi memastikan tiada gangguan bekalan barangan keperluan asas ketika bencana banjir yang diramalkan bermula bulan depan.
“Kita bersetuju membenarkan DDW dan DDR menyimpan barangan keperluan asas sebanyak 30% melebihi had lesen bagi memudahkan penduduk terjejas mendapat bekalan keperluan ketika banjir,” katanya menurut Berita Harian selepas mendengar taklimat projek pembinaan Pusat Pemindahan Kekal Bencana di Sekolah Kebangsaan Banggol Peradong di Kuala Terengganu.
Beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memastikan semua barangan keperluan asas mencukupi bagi menampung permintaan sepanjang musim banjir.
Beliau turut meminta DDW dan DDR memastikan semua barangan keperluan asas, khasnya beras, gula, tepung gandum, minyak masak mencukupi bagi menampung permintaan penduduk sepanjang musim tengkujuh.
Selasa lalu, Sinar Harian memetik Jabatan Meteorologi sebagai berkata, empat hingga enam siri hujan lebat berisiko menyebabkan banjir yang dijangka bermula bulan depan hingga Februari 2024.
Menurut laporan itu, keadaan itu dipengaruhi monsun timur laut (MTL) yang melanda negara mulai bulan depan sebelum berakhir Mac 2024.
Hujan lebat diramalkan di Kelantan, Terengganu dan Pahang antara November hingga Disember ini, manakala Johor, Sabah dan Sarawak mulai Disember hingga Januari depan.