

Jika sejarah Jerantut disingkap, mungkin ramai akan terkejut daerah yang tenang ini mempunyai kaitan dengan dua pahlawan Melayu lagenda: Pawang Nong dan Mat Kilau.
Dua wira ini berani menghadapi penjajah, dan pengorbanan mereka tersemat dalam sejarah negara.
Walaupun sudah beberapa dekad Pawang Nong, Mat Kilau dan rakan-rakan meninggalkan kita, terdapat tempat di Jerantut yang mengabadikan legasi mereka.
Jadi, jika anda memikirkan percutian di dalam negara, apa kata anda berkunjung ke destinasi bersejarah di Pahang ini dan beri penghormatan kepada mereka.
Kampung Ulu Cheka: Galeri Warisan Pawang Nong
Pawang Nong (1874-1977) mengasaskan Kampung Ulu Cheka pada 1907 bersama tujuh sahabat.
Dilahirkan sebagai Nong Taib Bin Santan, beliau terkenal sebagai pawang dan pesilat yang menghadapi ancaman Jepun dan komunis.

Pengunjung boleh melihat sendiri kehidupan lagenda ini dan menziarahi makamnya di Galeri Warisan Pawang Nong di Kampung Ulu Cheka. Galeri kecil namun mesra ini menampilkan bacaan komprehensif tentang tokoh sejarah berkenaan dan kampung yang diasasnya.
Semangat nasionalisme membara di tempat ini, yang turut menyerlahkan perwira lain seperti Dol Said, Mat Salleh, dan Datuk Maharaja Lela.
Satu bahagian kecil didedikasikan untuk silat Melayu Pahang – seni bela diri yang juga dari Pawang Nong – serta tiga pertempuran besar di mana Kampung Ulu Cheka terlibat, iaitu pertempuran Perlok (1948), Kuala Terbol (1952), dan Bukit Batu (1952).
Sudah tentu, galeri ini bukan saja memaparkan kisah pertempuran tetapi juga menampilkan pelbagai artifak tempatan yang mengagumkan dari zaman perintis pada 1907 hingga 1980-an. Ini terdiri daripada peralatan pertanian dan memancing kepada peralatan memasak.

Salah satu barangan yang paling mengagumkan ialah set pakaian perkahwinan tradisional Melayu dari 1960-an, bercorak kompleks dan dijahit daripada songket halus. Pameran menarik ini di salah satu bilik, di sebalik tirai manik.
Galeri ini berdekatan sebuah pusat masyarakat, di mana anda mungkin disapa Ahmad Shah Jamlus, ketua Kampung Ulu Cheka yang kelima. Seorang yang baik hati dan periang, beliau sentiasa teruja untuk berkongsi kisah kampungnya dengan pengunjung.
“Galeri ini cara terbaik untuk merenung kehidupan generasi terdahulu,” katanya kepada FMT. “Kita akan mengagumi kebijaksanaan mereka, bagaimana mereka boleh menghasilkan begitu banyak inovasi walaupun teknologi masa lalu terhad.”
Jika semua ini membuatkan anda teringin untuk mengetahui lebih lanjut mengenai sejarah di sini, galeri ini mempunyai sudut khas untuk bahan bacaan mengenai Kampung Ulu Cheka, serta panduan kepada dialek unik daerah ini. Tahukah anda, sebagai contoh, perkataan “antai” bermaksud “di mana”?

Sebelum anda beransur, jangan lupa berswafoto dengan mural dua pahlawan di luar galeri.
Pulau Tawar: Kompleks Galeri Mat Kilau
Pejuang legenda Mat Kilau baru-baru ini kembali terkenal dengan penerbitan “Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan”, filem terlaris dalam sejarah Malaysia.
Mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai personaliti ini boleh menuju ke Kampung Masjid di Pulau Tawar, tempat kelahiran anak Pahang berjiwa berani ini.
Kompleks Galeri Mat Kilau, yang ditubuhkan pada 2015, dikhaskan untuk Mat Kilau Rasu (1865-1970), yang menentang Empayar British semasa Kebangkitan Pahang 1891-1895.

Melangkah masuk ke kompleks ini, pengunjung disambut dengan diorama besar yang menggambarkan pahlawan Melayu dalam pertempuran dengan tentera British berbaju merah. Sekelilingnya terdapat catatan terperinci tentang detik-detik penting dalam hayat Mat Kilau, dari permulaannya yang sederhana hingga ke kemuncak perjuangannya.
Satu bahagian khusus ditujukan kepada kepahlawanan Mat Kilau, memperincikan bagaimana pahlawan itu dan orang-orangnya kadangkala bertempur hanya dengan tongkat, buluh runcing, atau tangan kosong.
Penggemar sejarah akan seronok membaca kisah Tok Gajah, seorang lagi pejuang semasa Kebangkitan Pahang, dan mempelajari tempat-tempat seperti Kubu Parit Dalam dan Perigi Purba yang penting dalam sejarah Mat Kilau.
Galeri ini kerap menayangkan dokumentari mengenai kehidupan tokoh ini, biasanya pada 10 pagi, 12 tengah hari, dan 3 petang setiap hari.

Seusai aktiviti di sini, pengunjung boleh menuju ke Makam Mat Kilau, yang terletak di sebuah tanah perkuburan kira-kira 10 hingga 15 minit pemanduan.
Menurut pentadbir unit pelancongan majlis Jerantut Suhizal Zaidin, galeri seperti ini amat penting untuk mengingatkan generasi akan datang supaya tidak mengambil mudah pengorbanan masa lalu.
“Mat Kilau dan anak buahnya berkorban segala-galanya untuk agama, rakyat, dan negara,” katanya.
“Kisahnya mengajar kita tentang ketabahan dan membina sahsiah yang baik, jadi kita tidak boleh biarkan namanya dan warisannya dilupakan.”

Galeri Warisan Pawang Nong
Arena Ulu Cheka,
Kg, 27030 Jerantut, Pahang
Kompleks Galeri Mat Kilau
Kompleks Galeri dan Sukan Komuniti,
Jalan Pulau Tawar, Durian Hijau,
Jerantut, Pahang
Artikel ini ditulis sebagai sebahagian daripada Eksplorasi Ulu Cheka 2023 anjuran Tourism Malaysia Wilayah Timur.