Internet terputus di Gaza, kata penyedia talian Palestin

Internet terputus di Gaza, kata penyedia talian Palestin

Committee to Protect Journalists (CPJ) bimbang terputusnya maklumat kritikal berhubung apa sebenarnya berlaku di Gaza.

Palestine Telecommunications Company dalam kenyataan berkata ‘talian darat, talian tanpa wayar, dan perkhidmatan komunikasi internet telah terputus sepenuhnya’. (Gambar AP)
RAMALLAH:
Perkhidmatan komunikasi dan internet di Semenanjung Gaza terputus sepenuhnya pada pagi Jumaat di tengah-tengah pengeboman besar Israel ke atas talian pengantara, menara, dan rangkaian, kata penyedia perkhidmatan.

Anadolu Agency melaporkan, Palestine Telecommunications Company dalam kenyataan berkata, “talian darat, talian tanpa wayar, dan perkhidmatan komunikasi internet telah terputus sepenuhnya di tengah-tengah pengeboman hebat melibatkan talian menghubungkan Tebing Barat termasuk menara dan jaringannya.”

Penyedia rangkaian telefon di Tebing Barat, Ooredoo Palestine, dalam kenyataan berasingan berkata khidmat telefon langsung terputus menghubungkan Semenanjung Gaza, sejak pagi Jumaat.

Menurut sumber daripada Kementerian Komunikasi dan Teknologi Maklumat Palestin, berlaku gangguan mengejut dalam perkhidmatan dari Semenanjung Gaza, tanpa belum diketahui puncanya.

Sementara itu, Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin, berkata badan itu terputus hubungan “sepenuhnya” dengan bilik operasi di Semenanjung Gaza, termasuk semua kru anggotanya yang bekerja di sana.

Persatuan itu juga menyatakan kebimbangan berhubung “khidmat penyediaan ambulans di Semenanjung Gaza, terutama gangguan perkhidmatan komunikasi pusat dan menjejaskan ketibaan ambulans merawat golongan cedera.”

Committee to Protect Journalists (CPJ) juga menyatakan kebimbangan mendalam berhubung situasi itu, sambil memberi amaran ia mengundang terputusnya maklumat kritikal.

Badan berpangkalan di New York berkenaan menekankan dunia “kehilangan tingkap realiti” ke atas apa sedang berlaku di Gaza kerana pertubuhan berita terputus hubungan dengan wakil mereka di lapangan.

“Perang Israel-Gaza memasuki peringkat baharu dengan pengeboman semakin hebat dan operasi darat oleh tentera Israel. CPJ sangat bimbang susulan laporan meluas komunikasi terputus di Gaza,” lapor Anadolu Agency.

Katanya, terputusnya komunikasi bukan hanya menafikan dunia mendapat berita penting, malah mewujudkan “vakum” yang mana laporan bebas dan berfakta kini diambil alih “propaganda bahaya”, selain maklumat tidak tepat dan tiada maklumat.

CPJ berkata, menjadikan wartawan atau infrastruktur media sebagai sasaran sengaja boleh dianggap jenayah perang.

Sekurang-kurangnya 7,326 rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat terbunuh dalam serangan Israel, sejak 7 Okt.

Seramai 2.3 juta penduduk Gaza dicengkam kekurangan makanan, air, dan perubatan susulan pengeboman udara Israel dan kepungan penuh di kawasan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.