
Chan Foong Hin dan Phoong Jin Zhe berkata, walaupun mereka menghormati niat baik gabenor Sabah serta kerajaan negeri, mereka turut menyedari ini tidak boleh dijadikan alasan untuk menjejaskan prinsip dan dasar DAP.
“Kami ingin memohon maaf kepada kepimpinan dan ahli parti,” kata Chan dan Phoong dalam kenyataan bersama.
Kedua-duanya berkata, mereka menerima teguran keras daripada Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP dan sedia menerima bimbingan serta nasihat parti dengan rendah hati.
Semalam, Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, mengumumkan parti itu selepas mesyuarat CEC memutuskan untuk “menegur sekeras-kerasnya” Chan dan Phoong kerana menerima darjah kebesaran negeri yang membawa gelaran Datuk.
Chan ialah Ahli Parlimen Kota Kinabalu dan ahli Jawatankuasa DAP Sabah, manakala Phoong merupakan setiausaha DAP Sabah dan Adun Luyang.
Mereka menerima darjah kebesaran Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) sempena sambutan ulang tahun ke-70 Yang Dipertua Sabah, Juhar Mahiruddin pada 7 Okt lalu.
Pada 2018, CEC meluluskan resolusi dan mengeluarkan nasihat bertulis kepada semua wakil rakyat DAP dan ahli majlis tempatan tidak menerima gelaran dan anugerah semasa aktif dalam politik.