Sorok dadah RM33.7 juta dalam kampit bawang, warga asing antara 7 ditahan

Sorok dadah RM33.7 juta dalam kampit bawang, warga asing antara 7 ditahan

Sebuah kontena berisi syabu 411.172kg dan kokain 100.813kg dikesan di sebuah gudang di Taman Cheras Prima yang dibawa masuk dari Pakistan melalui Pelabuhan Klang.

Polis berkata, semua suspek direman tujuh hari mulai semalam untuk disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
KAJANG:
Polis menahan tujuh lelaki, termasuk seorang warga Sri Lanka, disyaki menyeludup dan mengedar dadah dianggarkan bernilai RM33.73 juta pada Rabu lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Kamarudin Md Din, berkata semua suspek berumur 21 hingga 52 tahun itu ditahan dalam tiga serbuan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur dalam operasi 12.30 tengah hari hingga 2.15 petang.

Beliau berkata, polis pada mulanya mengesan sebuah kontena berisi syabu seberat 411.172kg dan kokain 100.813kg di sebuah gudang di Taman Cheras Prima, di sini, yang dibawa masuk dari Pakistan melalui Pelabuhan Klang pada 10.30 malam Selasa lepas.

“Keesokannya, dadah itu dipunggah keluar dari kontena dan ketika itu serbuan dilakukan,” katanya dalam sidang media di IPD Kajang hari ini.

Kamarudin berkata, ada antara dadah itu disorokkan dalam kampit bawang dan siasatan mendapati sindiket itu bergiat aktif sejak awal tahun ini.

“Lima daripada tujuh suspek memiliki rekod jenayah lampau, termasuk berkaitan dadah,” katanya sambil menambah semua suspek direman tujuh hari bermula semalam untuk disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, dadah dirampas itu boleh digunakan 2.6 juta penagih dadah dan pelbagai aset, antaranya enam kenderaan, barang kemas serta wang tunai, yang semuanya dianggarkan bernilai RM384,964 disita polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.