
Pakar pengangkutan jalan raya Law Teik Hua berkata ketiadaan sistem cekap hanya akan menyukarkan pengguna jika kenderaan lama tidak lagi dibenarkan atas faktor keselamatan.

“Mungkin boleh dilaksanakan secara beransur-ansur bagi tempat atau kenderaan tertentu, contohnya kenderaan berusia 15 hingga 18 tahun yang banyak masalah…keluarkan itu dahulu dari jalan raya,” kata pakar daripada Universiti Putra Malaysia itu kepada FMT.
Rabu lalu, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata dasar menamatkan hayat kenderaan berusia tidak sesuai dilaksanakan kerana akan menyusahkan rakyat yang menjadi pertimbangan Putrajaya dalam membuat keputusan.
Ogos tahun lalu, menteri sains, teknologi dan inovasi ketika itu Dr Adham Baba mengumumkan rancangan melaksanakan dasar menamatkan hayat kenderaan pada 2025.
Dianggarkan 33 juta kenderaan berdaftar di seluruh negara dengan rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menunjukkan sejuta kenderaan baharu didaftarkan setiap tahun sejak 2019.

Wan Agyl Wan Hassan, rakan kongsi pengurusan dalam firma perundingan pengangkutan Agyl & Partners pula berkata, kekurangan dalam kesaling hubungan antara pengangkutan awam menyukarkan dasar itu diterima rakyat.
“Sistem pengangkutan awam darat bukan sahaja di Kuala Lumpur tetapi juga di bandar besar lain belum sampai tahap efisien, itu tidak membenarkan keperluan mobiliti rakyat kalau tiada kenderaan.
“Rakyat belum boleh hidup tanpa kenderaan persendirian, kalau (rakyat) dah sedia boleh (boleh katakan),” katanya.