Mesyuarat khas Majlis Raja-Raja hari ini pilih Agong ke-17

Mesyuarat khas Majlis Raja-Raja hari ini pilih Agong ke-17

Sidang khas itu diadakan susulan tempoh 5 tahun penggal Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, yang akan tamat pada 30 Jan depan.

Mesyuarat khas Majlis Raja-Raja di Istana Negara hari ini akan menyaksikan pengundian oleh sembilan Raja-Raja Melayu bagi memilih Agong dan Timbalan Agong yang baharu. (Gambar Istana Negara)
KUALA LUMPUR:
Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja akan berlangsung hari ini bagi memilih Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Mesyuarat khas yang dijadual bermula pada 10 pagi di Istana Negara itu akan menyaksikan pengundian oleh sembilan Raja-Raja Melayu bagi memilih Agong dan Timbalan Agong yang baharu.

Persidangan khas itu diadakan susulan tempoh lima tahun penggal Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah sebagai Agong ke-16, yang akan tamat pada 30 Jan tahun depan.

Sultan Abdullah melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Agong ke-16 pada 31 Jan 2019 setelah dipilih pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja pada 24 Jan tahun sama.

Menurut Seksyen 2, Bahagian I, Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan, Majlis Raja-Raja hendaklah menawarkan jawatan Agong kepada Raja yang layak dipilih, yang negerinya pertama dalam senarai pemilihan.

Jika Raja yang berjaya tidak menerima tawaran, maka proses pengundian semula akan dijalankan, iaitu dengan mencalonkan nama Raja yang kedua dalam senarai kekananan yang layak dipilih untuk diundi.

Susunan penggiliran pertama bermula pada 1957 (bagi pelantikan Agong) sehingga 1994, dilakukan atas persetujuan Raja negeri-negeri mengikut kekananan dari segi tempoh pemerintahan, dimulakan dengan Negeri Sembilan, diikuti Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor dan Perak.

Malaysia adalah sebuah daripada 43 negara di dunia yang mengamalkan sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan dan satu-satunya negara yang mengamalkan sistem penggiliran dalam kalangan sembilan Raja Melayu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.