
“Insya-Allah ia semakin baik,” kata pesuruhjaya PAS negeri.
Beliau menjelaskan parti itu sudah lama berjuang di negeri utara tersebut dan menerima semua pihak yang mempunyai pelbagai fahaman.
“Kita (PAS) saling bertoleransi dengan matlamat yang satu iaitu memartabatkan Islam demi keharmonian masyarakat yang pelbagai.
“Perbezaan ini bukan pergolakan dalaman parti tapi percambahan ilmu selaras ucapan Presiden PAS (Hadi Awang) dalam muktamar baru-baru ini,” katanya kepada FMT.
Shukri mengulas dakwaaan Pengerusi Bersatu Perlis Abu Bakar Hamzah, berlaku pergolakan dalaman PAS di negeri itu sehingga menimbulkan tidak selesa rakan komponen Perikatan Nasional (PN).
Terdahulu, Mursyidul Am PAS Hashim Jasin berkata pergolakan dalaman parti itu di Perlis akan diselesaikan dalam masa seminggu.
Menurut Hashim, tidak bersetuju antara satu sama lain adalah sebahagian dalam proses pentadbiran yang dilalui semua pihak.
Sementara itu, Shukri mengakui terdapat Adun PN Perlis yang terus-menerus mengkritik pentadbiran kerajaan negeri.
“Secara keseluruhannya tidaklah wujud geng ‘penebuk kapal’ ini kerana kami sebagai wakil rakyat PN masih duduk dan bekerja secara harmoni malah mesyuarat juga diadakan secara bersama sebagai pentadbir negeri ini,” katanya lapor Harian Metro.
Hadi ketika ucapan penggulungan Muktamar PAS kali ke-69 di Shah Alam 22 Okt lalu mengingatkan ahli parti tidak menjadi “penebuk kapal” untuk menjatuhkan kerajaan diperintah PAS.
Katanya, sekalipun ada kelemahan di negeri diperintah parti itu, semua ahli perlu bersama memperbaikinya bukan bertindak mendedahkan kepada lawan.