
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata bomba menerima panggilan mengenai kehilangan lelaki yang dikenali sebagai Mohd Faiz Azman kira-kira 9.50 pagi.
“Aktiviti pencarian telah dijalankan sepanjang satu kilometer (km) dari hotspot mangsa dipercayai lemas dengan kaedah pencarian pada permukaan serta mengikut arus oleh agensi-agensi terlibat yang mana telah dipecahkan kepada tiga kumpulan kecil,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata pasukan penyelamat meneruskan pencarian pada radius lima km sehingga ke Jambatan Karai petang tadi di kawasan permukaan.
Operasi itu katanya melibatkan 55 anggota daripada pelbagai agensi termasuk bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan orang awam serta dua ekor anjing pengesan K9.
Pencarian dihentikan 6 petang tadi kerana hujan lebat sepanjang hari di lokasi dan akan disambung semula pagi esok.
Menurut APM Perak mangsa bersama dua rakannya bertolak dari Jeti Kampung Jarau sebelum bot dinaiki mereka terlanggar batu di tengah sungai menyebabkan mangsa terjatuh ke dalam sungai.