
Pengerusi Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (PAGE), Noor Azimah Abdul Rahim berkata timbul kebimbangan berhubung kesesuaian program sedemikian di sekolah.
Katanya, gambar dan video kanak-kanak membawa senapang mainan adalah contoh apa boleh berlaku dalam acara sedemikian.
Satu video tular 55 saat menunjukkan seorang lelaki mengacukan senapang mainan ke arah pelajar sambil mengetuai sekumpulan guru mengibarkan bendera Palestin ke perhimpunan.
Terdapat juga gambar kanak-kanak di sekolah lain memakai bandana tertera perkataan “Selamatkan Palestin” dan membawa senapang mainan.
“Pelajar dipergunakan. Program sebegini perlu dihentikan segera,” Noor Azimah memberitahu FMT.
Petang tadi, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menggesa kawalan ke atas Minggu Solidariti Palestin di sekolah bagi mengelakkan sebarang isu tercetus.
Kementerian Pendidikan pula dilaporkan berkata, penganjuran program di sekolah terbabit di luar tempoh pelaksanaan Minggu Solidariti Palestin dari 29 Okt hingga 3 Nov ini dan tidak mengikuti panduan ditetapkannya.
Katanya, ia tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti berbentuk ekstremisme sepanjang penganjuran Minggu Solidariti Palestin dan melarang penggunaan replika senjata, ikon serta simbol mengandungi elemen provokasi serta konfrontasi ketika acara itu.