Muat turun aplikasi PAS buat masa ini dikhuatiri bawa ‘risiko keselamatan’

Muat turun aplikasi PAS buat masa ini dikhuatiri bawa ‘risiko keselamatan’

Memuat turun aplikasi tersebut dari platform selain kedai maya rasmi boleh membawa risiko ia disertai perisian jahat, menurut pakar teknologi.

Aplikasi MyOnePAS keluaran PAS menawarkan fungsi e-dompet, maklumat waktu solat dan tambah nilai. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pakar teknologi membangkitkan kebimbangan mengenai isu keselamatan berhubung aplikasi super keluaran PAS, memandangkan ia tidak ditawarkan untuk dimuat turun daripada platform berdaftar buat masa ini.

Dilancarkan pada Ahad, aplikasi MyOnePAS, yang memuatkan ciri seperti e-dompet dan perkhidmatan pembayaran bil, perlu dimuat turun dalam bentuk kit pakej android (APK) dari satu laman web.

T Murugason, Ketua Pegawai Eksekutif Novem CS, sebuah syarikat keselamatan siber berkata, memuat turun aplikasi itu dari platform selain Google Play Store atau Apple App Store contohnya membawa risiko signifikan.

“Memandangkan aplikasi dimuat turun dari sumber selain kedai maya rasmi memintas protokol keselamatan, pengguna lebih berisiko berdepan perisian hasad atau berbahaya lain,” katanya kepada FMT.

Katanya, ini mendedahkan pengguna kepada kod berbahaya.

“Tambahan, ada aplikasi mungkin dibenam perisian intip yang boleh mencuri butiran peribadi daripada peranti anda dan menyalurkannya kepada pihak yang tidak diingini,” katanya.

Murugason berkata, lebih selamat bagi pengguna memuat turun aplikasi dari kedai maya rasmi memandangkan platform seperti itu melakukan saringan menyeluruh untuk memastikan aplikasi bebas daripada perisian hasad.

Jurutera perisian L Raaj menasihatkan pengguna agar tidak memuat turun aplikasi itu buat masa ini kerana risiko keselamatan berkaitan dengannya “tinggi”.

Bagaimanapun, beliau faham tujuan parti itu melancarkan aplikasi berkenaan dalam bentuk APK, iaitu format fail untuk peranti Android mengandungi komponen perlu bagi pemasangan aplikasi, termasuk kod, sumber, dan maklumat aplikasi.

Raaj, CEO agensi pemasaran teknologi Techmonquay berkata, pembangun mungkin memilih memperkenalkan aplikasi sebagai APK buat permulaan kerana integrasi dalam kedai maya memakan masa.

Katanya, penggunaan APK membolehkan pembangun menghimpunkan maklum balas pengguna dan membuat penambahbaikan yang perlu.

“Bagaimanapun, melancarkan aplikasi itu di laman web mereka terlebih dulu juga mungkin tindakan pemasaran strategik,” katanya.

“Ini dapat membantu memberi aplikasi itu momentum awal supaya apabila sudah didapati di Play Store, ia mampu menarik lebih banyak muat turun.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.