Persatuan mahu kerajaan campur tangan mogok drebar lori

Persatuan mahu kerajaan campur tangan mogok drebar lori

Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia dan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan berkata sejumlah projek pembinaan tertangguh akibat protes.

Pemandu lori mogok sebagai protes terhadap pemeriksaan dilakukan JPJ. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dua persatuan mahu kerajaan campur tangan kerana mendakwa mogok pemandu lori di beberapa negeri susulan operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengakibatkan projek pembinaan tertangguh selain merugikan pemaju.

Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) dan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) berkata, mogok menyebabkan sejumlah tapak pembinaan terhenti operasi selama beberapa minggu.

“Ini turut menyebabkan gangguan penghantaran bahan binaan, terutama produk kuari dan pasir,” kata mereka dalam kenyataan bersama.

“Kesannya, pihak industri menanggung semua kos tambahan dan masa atas isu lain yang di luar kawalan kami, yang mengurangkan secara signifikan produktiviti sektor berkenaan.”

Mereka menggesa kerajaan segera menangani isu dibangkitkan sebelum masalah menjadi semakin sulit.

“Kami berharap penyelesaian dapat dicapai demi memastikan kelancaran operasi dalam ekonomi pembinaan kita dengan mengekalkan piawaian keselamatan dan pematuhan,” menurut kenyataan itu.

Mogok pemandu yang berlangsung sejak 17 Okt, dikatakan memprotes pemeriksaan terhadap lori dan kenderaan perdagangan oleh JPJ sejak hujung bulan lalu, dengan banyak kenderaan ditahan kerana lebih muatan.

Bulan lalu, JPJ mengumumkan agensi itu akan melaksanakan pemeriksaan berskala besar terhadap kenderaan perdagangan susulan insiden sebuah lori melanggar 14 kenderaan di Putrajaya, mengorbankan dua nyawa.

Berlaku protes di negeri Pantai Timur melibatkan lebih 2,000 pemandu lori. Setakat ini, hanya persatuan pemandu lori Kelantan dilapor bersetuju menyambung operasi pada 21 Okt, susulan perbincangan dengan JPJ.

Malaysia Trucking Federation juga menggesa semua pemandu terus melakukan penghantaran muatan masing-masing, namun ada pemandu dilapor takut dengan tindak balas kerana tidak bersolidariti bersama yang lain.

Di Kedah, kumpulan pemandu lori mengemukakan beberapa tuntutan dalam memorandum kepada JPJ, termasuk perniagaan dan pengilang dikenakan denda kerana memaksa mereka membawa muatan berlebihan, lapor New Straits Times.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.