
Ketua Penerangannya Ahmad Fadhli Shaari berkata pihaknya sering menghadiri persidangan di Timur Tengah dan beberapa lokasi lain walaupun bukan atas nama kerajaan tetapi parti.
“Tetapi kadangkala mungkin kita hadir ke peringkat antarabangsa tetapi maklumat itu tidak sampai kepada rakyat.
“Dan kita kurang dari sudut ketersampaian maklumat penglibatan kita menyebabkan rakyat tidak nampak penglibatan,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas kenyataan bekas ketua Pemuda Umno itu dalam podcast Keluar Sekejap kelmarin yang melihat pendedahan kalangan pemimpin PAS di peringkat antarabangsa masih tidak mencukupi.
Khairy yang juga Felo di Yusof Ishak Institute, Singapura berkata institut itu meminta PAS berinteraksi dengan mereka tetapi tidak berlaku, malah dakwanya ada seorang pemimpin parti itu menolak jemputan diaturnya untuk satu sesi pada tahun depan.
“Pertama kita kena pertingkat penglibatan kita di peringkat antarabangsa. Kedua kita kena mendedahkan maklumat itu dan dia perlu disebarkan kepada umum.
“Hari ini bukan setakat kita perlu dilihat baik tetapi kita kena menampakkan orang kita juga baik,” katanya.
Khairy juga menasihatkan PAS keluar dari bawah tempurung “state government four” (SG4) untuk membuktikan kemampuan parti itu mentadbir pada masa depan.
SG4 merujuk kepada empat negeri ditadbir PAS iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, dan Perlis.
Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas tidak megulas secara khusus nasihat Khairy mengenai SG4 namun pihaknya mengalu-alukan segala teguran membina pihak luar termasuk Khairy dan sedia melakukan penambahbaikan.