3 maut nahas di Hulu Selangor

3 maut nahas di Hulu Selangor

Nahas melibatkan sebuah Toyota Avanza dan Perodua Axia.

Dua lelaki dan seorang wanita maut dalam nahas di Jalan Kuala Kubu Bharu-Rawang-Bukit Beruntung, Hulu Selangor, hari ini. (Gambar Bomba)
PETALING JAYA:
Tiga maut manakala seorang parah dalam nahas dua kenderaan di Jalan Kuala Kubu Bharu-Rawang-Bukit Beruntung,  Hulu Selangor, hari ini.

Setakat ini, identiti mangsa maut dan parah dalam kemalangan itu belum dikenal pasti.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan pada 11.06 pagi.

Katanya, sepasukan 11 anggota bersama jentera dari Balai Bomba Kuala Kubu Bharu dengan bantuan bomba Rawang dihantar ke lokasi kejadian.

“Menurut laporan awal, kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza dan Perodua Axia dengan empat mangsa terbabit.

“Dalam Toyota Avanza, seorang lelaki maut dan seorang wanita parah, manakala dua kematian lagi membabitkan seorang lelaki dan seorang wanita dalam Perodua Axia yang kedua-duanya meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau berkata, mangsa yang parah diserahkan kepada pasukan perubatan untuk tindakan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.