Tuduhan mahkamah hanya mahu alih perhatian rakyat, dakwa Wan Saiful

Tuduhan mahkamah hanya mahu alih perhatian rakyat, dakwa Wan Saiful

Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata kerajaan mahu menutup kegagalan menangani kenaikan kos sara hidup.

Wan Saiful Wan Jan berdepan 18 tuduhan baharu ubah wang haram berjumlah RM5.6 juta. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan mendakwa 18 pertuduhan baharu terhadapnya hari ini kerana kerajaan ingin mengalih perhatian rakyat daripada kegagalannya menangani kenaikan kos sara hidup.

“Saya menganggap pertuduhan baharu yang dikenakan kepada saya ini adalah satu usaha mengalih perhatian rakyat daripada pelbagai kegagalan kerajaan hari ini.

“(Kerajaan) gagal mengawal kenaikan harga barang, mengawal kenaikan kos sara hidup, gagal membantu rakyat dengan cara yang efektif, gagal menjalankan reformasi yang kononnya mereka nak perjuangkan sejak dahulu lagi,” katanya kepada media.

Terdahulu, bekas ketua penerangan Bersatu itu didakwa 18 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM5.6 juta, yang dikatakan dilakukan antara 12 Ogos hingga 13 Nov tahun lalu.

Beliau juga berdepan dengan dua lagi dakwaan rasuah berkait program Jana Wibawa.

Sementara itu, Wan Saiful juga mengulangi gesaan untuk pembaharuan terutama pemisahan kuasa antara pejabat peguam negara dan pendakwa raya serta pelantikan ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Saya mengulangi lagi desakan daripada rakan-rakan di arena politik dan NGO untuk menambah baik mekanisma pelantikan ketua pesuruhjaya SPRM supaya lebih telus dan bebas daripada campur tangan dalaman,” katanya.

Wan Saiful berkata beliau bimbang kerajaan akan menggunakan alasan untuk mengkaji pembaharuan itu untuk melambatkan proses yang sepatutnya boleh dilakukan segera.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.