Kamu lempar kami dengan nista; adilkah, Puad bidas Hadi

Kamu lempar kami dengan nista; adilkah, Puad bidas Hadi

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno mendakwa PN yang memusuhi kerajaan dengan melemparkan kata kesat, cemuhan dan fitnah.

Puad Zarkashi berkata apakah adil seperti dituntut Hadi Awang selepas presiden PAS itu mencemuh kerajaan dengan kata-kata kesat.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Umno berkata tiada sesiapa dalam kerajaan perpaduan menganggap pembangkang sebagai musuh.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Puad Zarkashi, sebaliknya mendakwa Perikatan Nasional (PN) yang memusuhi kerajaan dengan melemparkan kata kesat, cemuhan dan fitnah.

“Kita mengiktiraf pembangkang sebagai pengimbang. Hadi (Awang) mengumpamakan kerajaan perpaduan sebagai ‘najis’.

“Mana mungkin PN mahu masuk ke ‘tong najis’ katanya. Itu kata nista yang menggalakkan permusuhan dan kebencian. Apakah itu adil seperti dituntut Hadi kepada kerajaan,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan presiden PAS yang menggesa kerajaan berlaku adil kepada pembangkang termasuk diberikan peruntukan sama rata kerana kedua-dua pihak bukan musuh.

Dalam perbahasan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat semalam, Hadi menyifatkan tindakan kerajaan hanya memberi peruntukan kepada Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan sebagai tidak mengikut ajaran Islam.

Sementara itu, Puad berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim sudah membuat kenyataan terbuka supaya pembangkang berunding dengan kerajaan mengenai peruntukan.

“Tetapi Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin yang angkuh. Dia tolak untuk berunding dengan perdana menteri.

“Justeru pembangkang mesti cermin diri sendiri. Kamu yang mengapikan permusuhan…maki hamun, suka menghukum dan dalil politik tidak munasabah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.