Cuti-cuti Johor tak lengkap tanpa Gunung Ledang dan Galeri Seni Muar

Cuti-cuti Johor tak lengkap tanpa Gunung Ledang dan Galeri Seni Muar

Gunung Ledang dan Galeri Seni Muar menanti pengunjung yang ingin menghirup keindahan khazanah semula jadi dan semangat kreativiti anak tempatan.

Gunung Ledang diabadikan dalam kisah yang diceritakan turun-temurun. (Moganraj Villavan @ FMT Lifestyle)
PETALING JAYA:
Gunung-ganang menjulang ke langit menawan imaginasi manusia sejak berzaman, menguja rasa kagum dan betapa kecilnya diri ini bawah bayangannya.

Malaysia juga mempunyai pasak-pasak bumi yang diabadikan dalam dongeng-dongeng masyarakat, misalnya Gunung Santubong dan Gunung Kinabalu. Namun yang paling diceritakan tentunya gunung tertinggi di Johor.

Gunung Ledang setinggi 1,276m tersergam dari kejauhan. Ia merupakan habitat bagi pelbagai flora dan fauna yang mana sesetengahnya sukar ditemui di tempat lain.

Selain tarikan semula jadi, ia menjadi tumpuan pelancong yang terpanggil untuk melihat sendiri gunung yang diceritakan turun-temurun menerusi lagenda Puteri Gunung Ledang.

Secara ringkasnya, menurut karya Sejarah Melayu, Sultan Mansur Shah yakni Sultan Melaka keenam berhasrat mengahwini Puteri Gunung Ledang.

Pengunjung boleh menyelami khazanah semula jadi di Gunung Ledang, tempat tinggal seorang puteri lagenda. (Moganraj Villavan @ FMT Lifestyle)

Hang Tuah, seorang pahlawan lagenda, diperintah ke gunung tersebut sambil membawa keinginan sultan itu, namun kerana usia yang lanjut beliau tidak berdaya mendakinya. Amanah itu diserahkan kepada Tun Mamat.

Di puncak gunung itu, seorang wanita tua muncul dihadapan Tun Mamat lalu menyatakan beberapa syarat yang harus dipenuhi, sebelum si puteri menerima lamaran sultan. Antaranya, tujuh dulang hati nyamuk dan tempayan dipenuhi air mata anak dara.

Sultan menerima syarat-syarat itu, termasuk semangkuk darah anak sendiri. Apabila si sultan hendak menumpahkan darah raja muda, si puteri muncul di hadapannya lalu mengecam baginda.

Si sultan dikecam sebagai seorang yang kejam, lalu si puteri mengisytiharkan tidak ingin sama sekali bersamanya.

Lalu si puteri kembali ke Gunung Ledang. Kisah ini dan cerita-cerita penjelmaan lain menyematkan Puteri Gunung Ledang dalam fikiran masyarakat sepanjang zaman.

Papan tanda di pusat pelawat menerangkan kisah Puteri Gunung Ledang menolak lamaran sultan Melaka. (Moganraj Villavan @ FMT Lifestyle)

Di sebalik semua ini, Taman Negara Gunung Ledang merupakan khazanah semulajadi yang berbaloi dilawati, terutama bagi pengunjung yang ingin melepaskan lelah dari asakan hidup di kota.

Taman ini menyediakan pelbagai pakej untuk pelancong, merangkumi penginapan, makanan, dan jurupandu.

Bagi pelancong yang tidak ingin menguji ketahanan mendaki cerun, mereka boleh singgah ke taman herba di pusat pelawat, yang menempatkan tumbuh-tumbuhan yang ditemui di gunung lagenda itu, direntangi anak sungai yang dingin sesuai untuk si kecil.

Sama ada untuk bersenam, beriadah, bermuhasabah atau memuaskan rasa ingin tahu, Gunung Ledang harus dikunjungi dan lihat sendiri keindahan sebenar di sebalik lagenda.

Layari laman web rasmi Taman Negara Gunung Ledang.

Taman Negara Johor Gunung Ledang
Batu 26, Jalan Segamat,
84020 Sagil, Ledang, Johor.

Hubungi: 06-963 1030/ 019-777 2057

Muar Art Gallery & Café menjadi pusat kegiatan masyarakat, di mana bengkel mengajar orang tempatan mengenai kerja-kerja kayu. (Moganraj Villavan @ FMT Lifestyle)

Galeri lain daripada yang lain

Dari puncak Gunung Ledang, alihkan pandangan ke arah selatan dan anda mungkin dapat menyaksikan pekan Muar, di mana satu lagi tempat menarik menanti.

Muar Art Gallery & Café ialah pusat kebudayaan komuniti yang menyahkan tanggapan bahawa galeri seni mesti membosankan.

Tahukah anda Muar juga digelar sebagai Bandar Perabot Malaysia? Kira-kira 60% perabot yang dieksport dihasilkan di sini.

Contoh-contoh kelengkapan rumah ini dipaparkan di tingkat tiga galeri itu, menonjolkan betapa pentingnya Muar dalam industri perabot.

Kebanyakan rotan yang digunakan untuk membikin meja dan kerusi ini ditanam di pinggir Muar. Malah, kebanyakan perabot ini dihasilkan oleh tukang-tukang kayu tempatan.

Ruangan dalam galeri yang mempamerkan ciptaan tukang-tukang kayu Muar. (Moganraj Villavan @ FMT Lifestyle)

Galeri ini juga berfungsi sebagai tempat artis berkumpul, dan sebuah kafe di mana penduduk menikmati kopi dan pemanis mulut.

Bersebelahan kafe di tingkat bawah, perbincangan dan gelak tawa mengisi ruang Art Space. Di sini kanak-kanak dan dewasa mengasah kemahiran artistik dan berseronok.

Bengkel kerja kayu sering diadakan di sini, dengan memanfaatkan kayu-kayu yang tidak digunakan oleh pembuat perabot Muar.

Rak di dinding mempamerkan hasil kerja tangan anak-anak Muar, daripada mainan kecil hinggalah kotak barang kemas.

Mainan kayu kecil yang comel ini dibuat oleh kanak-kanak dari sekitar Muar. (Moganraj Villavan @ FMT Lifestyle)

Pengasas Muar Art Gallery & Café, Ken Lee, memberitahu FMT Lifestyle bahawa beliau memulakan galeri ini pada 2016 kerana ingin berkongsi dan menyumbang kepada masyarakat.

Usahawan perabot itu berkata gelari ini sering menjadi tuan rumah untuk persembahan pemuzik tempatan, termasuk koir dan orkestra Muar yang kerap berlatih di tingkat atas.

Pada September ini, galeri itu akan menganjurkan festival muzik di premisnya. “Semua dialu-alukan untuk menyertai, kerana kami mahu orang ramai melihat yang terbaik ditawarkan oleh Muar,” kata Lee.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Muar Art Gallery & Café, layari Facebook dan laman web rasmi mereka.

Muar Art Gallery & Café
66-1, Jalan Junid, 84000 Muar, Johor

Waktu operasi: 8am-10pm setiap hari

Hubungi: 0111-6362376

Artikel ini ditulis sebagai sebahagian daripada lawatan agropelancongan Johor anjuran Tourism Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.