Bantuan mencurah-curah untuk Muggnisuari dan anak-anak

Bantuan mencurah-curah untuk Muggnisuari dan anak-anak

Exco Selangor V Papparaidu berkata, kerajaan negeri akan membantu keluarga yang dibelenggu kemiskinan itu, termasuk membaik pulih rumah mereka.

B Muggnisuari bersyukur atas bantuan yang diterima daripada orang ramai dan pihak berkuasa.
SHAH ALAM:
B Muggnisuari tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya mengenai bantuan yang diterima daripada insan dan pihak yang baik hati.

FMT melaporkan nasib wanita berusia 28 tahun itu dan lima anaknya, berusia empat hingga sembilan tahun, semalam dan dalam tempoh kurang sehari, beliau dikunjungi tidak kurang 10 insan murah hati yang menawarkan wang tunai dan bekalan.

“Saya sangat gembira dengan bantuan yang saya terima selepas laporan itu diterbitkan (FMT),” katanya.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada FMT kerana membantu saya dan anak-anak mendapatkan sumbangan dan barangan runcit.”

Kini beliau dapat menarik sedikit nafas lega, terutamanya tentang makanan.

Wang tunai dan makanan yang diterimanya daripada insan yang mengunjunginya tidak termasuk wang diterima daripada Persatuan Kebajikan Suriana, yang menguruskan sumbangan buat Muggnisuari. Ketika laporan ini ditulis, lebih RM8,000 telah dikumpul.

Exco Selangor V Papparaidu (kiri) dan pegawainya semasa mengunjungi Muggnisuari dan anak-anaknya.

Keluarga itu turut menerima kunjungan Exco Selangor V Papparaidu dan Adun Kota Damansara Izuan Kasim.

Papparaidu, yang mempengerusikan jawatankuasa tetap sumber manusia dan pembasmian kemiskinan negeri berkata, beliau memberikan barangan runcit dan wang tunai kepada Muggnisuari, bimbang keluarga itu tidak makan berhari-hari.

“(Sumbangan) ini hanya sebagai permulaan agar anak-anaknya tidak kelaparan,” katanya kepada FMT, sambil menjamin rumah keluarga itu akan dibaik pulih.

Papparaidu berkata, beliau juga akan membantu Muggnisuari mendapatkan sijil kelahiran bagi dua orang anak kecil wanita itu.

Izuan berkata, beliau akan membantu Muggnisuari memohon Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) yang memberi penerima RM300 sebulan untuk barangan runcit.

Adun Kota Damansara Izuan Kasim berkata, beliau akan membantu Muggnisuari memohon bantuan kebajikan Selangor yang dikenali sebagai Bingkas.

“Setidak-tidaknya, makanan mereka terjamin. Saya dimaklumkan bahawa Jabatan Kebajikan juga akan membantu anak-anak ini,” katanya.

Katanya lagi, beliau telah bercakap dengan timbalan pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Selangor mengenai pekerjaan yang sesuai untuk Muggnisuari.

FMT bekerjasama dengan Persatuan Kebajikan Suriana (No Reg PPM-010-10-04122010), yang akan menguruskan bantuan untuk keluarga tersebut.

Sumbangan boleh terus disalurkan kepada Persatuan Kebajikan Suriana, menerusi nombor akaun Maybank 512 361 505370 (rujukan: ‘Muggnisuari’)

Individu atau pihak yang ingin menyumbang barangan boleh menghubungi 1300-88-2200 untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.