
Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) berkata, realitinya kenaikan 2% itu berpotensi meningkatkan harga keperluan barangan asas, berikutan ia melibatkan semua rantaian walaupun makanan, minuman serta komunikasi dikecualikan daripada pelaksanaan itu.
“Ia akan beri kesan rantaian satu perkhidmatan yang akhirnya akan membebankan rakyat sebagai pengguna akhir dalam perkhidmatan tersebut.
“Jadi, apakah jaminan kerajaan, peningkatan kadar cukai tidak akan meningkatkan kadar bayaran atau kadar harga barang di pasaran terutama barangan keperluan rakyat?” soalnya di Dewan Rakyat, ketika sesi perbahasan Belanjawan 2024.
Semalam, Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) menyifatkan langkah menaikkan SST sebagai kurang tepat berbanding sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang lebih efisien.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2024 berkata kerajaan bercadang menaikkan kadar SST, bagaimanapun makanan, minuman serta komunikasi dikecualikan.
Menyentuh pengumuman Anwar mengenai penyerahan semula aset Lembaga Tabung Haji (TH) yang diletakkan bawah syarikat bertujuan khas (SPV) Kementerian Kewangan, Idris meminta kerajaan mendedahkan nilai sebenar aset yang akan dikembalikan.
“Supaya ia dapat imbangkan kembali aset dan liabiliti dan TH mampu beri dividen sesuai dengan Akta TH,” katanya.
Pada 2018, TH memindahkan aset yang tidak menguntungkan bernilai kira-kira RM19.9 bilion kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (Urusharta Jamaah), SPV yang dimiliki MoF bagi memantapkan kedudukan kewangannya.
Sebelum penstrukturan semula, liabiliti TH melebihi aset sebanyak RM10 bilion yang menghalang TH membayar hibah kepada pendepositnya.
Akta Tabung Haji 1995 mensyaratkan hibah atau dividen tidak boleh dibayar jika tanggungan (hutang atau liabiliti) TH melebihi aset sedia ada.