
Ketuanya Allaudeen Abdul Majid berkata pihaknya mendapati majoriti sindiket penipuan itu beroperasi di kondominium ternama susulan siri serbuan dalam tempoh dua bulan lalu.
Justeru, katanya, Badan Pengurusan Bersama (JMB) serta Perbadanan Pengurusan (MC) bangunan perlu mengambil berat berhubung modus operandi scammer.
“Dalam tempoh tersebut, 343 tangkapan dilakukan dan 10 (kes) sudah dituduh, kita agak bimbang dengan semua tangkapan ini kerana membabitkan premis mewah, kalau saya sebut nama kondominium ini anda semua pasti terkejut.
“Kita tidak menolak kemungkinan akan melakukan pemeriksaan terhadap pengawal keselamatan kondominium tersebut, kita percaya ada mereka yang terlibat dengan sindiket ini,” katanya menurut Kosmo selepas menghadiri perhimpunan bulanan di IPK Kuala Lumpur.
Allaudeen berkata tindakan tegas diambil bagi menjaga keharmonian serta memastikan Kuala Lumpur tidak dijadikan sebagai hab utama sindiket “pusat panggilan” beroperasi.
“Kondominium ini berterabur di seluruh Kuala Lumpur, kita sedang berusaha untuk bekerjasama dengan pengurusan kondominium ini. Kita tak mahu Kuala Lumpur terus menjadi lubuk sindiket ‘calling centre’ beroperasi,” katanya.