Kereta Api Trans-Borneo bagus, tetapi fokus jalan raya dahulu, kata ahli ekonomi

Kereta Api Trans-Borneo bagus, tetapi fokus jalan raya dahulu, kata ahli ekonomi

Firdausi Suffian dari UiTM Sabah berkata kerajaan perlu fokus pada jalan raya seperti Lebuhraya Pan Borneo dan membaiki sekolah uzur.

Pakar pengangkutan Wan Agyl Wan Hassan berkata projek Kereta Api Trans-Borneo akan meningkatkan pergerakan sumber dan penduduk serta akan memberi impak signifikan pada ekonomi. (Gambar KTMB)
PETALING JAYA:
Cadangan membina landasan Kereta Api Trans-Borneo yang menghubungkan Sabah dan Sarawak dengan Indonesia mungkin satu cadangan yang baik tetapi kerajaan perlu menfokuskan jalan raya dan sekolah di Malaysia Timur, kata ahli ekonomi.

Firdausi Suffian dari UiTM Sabah berkata landasan kereta api itu akan meningkatkan produktiviti di kedua-dua negeri. Kerana ia memerlukan ramai pekerja maka akan banyak peluang pekerjaan. “Tetapi siapa akan membayarnya?”

“Kita perlu terlebih dahulu fokus pada jalan raya seperti Lebuhraya Pan Borneo. Membaiki sekolah uzur juga perlu diberi keutamaan,” katanya kepada FMT.

Pada Januari lalu, Kementerian Pendidikan berkata terdapat lebih 300 sekolah uzur di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

Idea Landasan Kereta Api Trans-Borneo kali pertama dicadangkan bekas perdana menteri Najib Razak kepada Presiden Indonesia Joko Widodo pada 2015. Pada awal bulan ini, Putrajaya berkata ia bersetuju untuk mempertimbangkan cadangan itu, dengan Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook mengumumkan kajian kebolehlaksanaan akan dilaksanakan.

Pakar pengangkutan Wan Agyl Wan Hassan berkata projek itu akan meningkatkan pergerakan sumber dan penduduk serta akan memberi impak signifikan pada ekonomi.

“Landasan kereta api itu tidak hanya akan menyelesaikan masalah (perhubungan), tetapi ekonomi Borneo akan berkembang maju. Dengan Nusantara di Kalimantan akan dibina sebagai ibu negara Indonesia yang baru, ini pasti akan memberi kesan,” katanya kepada FMT.

Katanya, pengangkutan awam mungkin tidak sentiasa menguntungkan tetapi projek ini patut dilihat sebagai pelaburan yang baik untuk meningkatkan ekonomi yang lebih luas di wilayah itu. “Adakah kita mahu membina infrastruktur untuk mendapatkan keuntungan, atau untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi?” katanya.

Menteri Pelancongan, Seni, Budaya, Belia, dan Sukan Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata bahawa projek landasan kereta api ini akan memberi faedah kepada dua negeri Malaysia Timur. “Jika ia berkaitan dengan pembangunan Sarawak, Brunei, Sabah, dan Kalimantan, saya setuju sepenuhnya,” katanya.

“Terdapat banyak sumber, seperti mineral dan kelapa sawit, yang perlu diangkut. Kita perlu mempertimbangkan sama ada projek ini menjadi mod pengangkutan baru untuk sumber-sumber ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.