Samun bersenjata, ‘Geng Dan Lombok’ didalangi warga Indonesia tumpas

Samun bersenjata, ‘Geng Dan Lombok’ didalangi warga Indonesia tumpas

Polis berkata 'Geng Dan Lombok' diketuai lelaki berusia 43 tahun dikenali 'Dan' yang pernah ditahan serta dipenjarakan setahun, sebelum diusir ke Indonesia.

Polis menahan lapan suspek berusia 27 hingga 48 tahun di Felda Keratong, Rompin dan Kuala Pilah, Negeri Sembilan sejak 12 Okt hingga Jumaat lalu.
PETALING JAYA:
“Geng Dan Lombok” didalangi warga Indonesia yang aktif melakukan samun bersenjata di Pahang, Terengganu dan Negeri Sembilan tumpas susulan penahanan lapan suspek, termasuk seorang wanita.

Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman, berkata lapan suspek berusia 27 hingga 48 tahun itu ditahan hasil serbuan di Felda Keratong, Rompin dan Kuala Pilah, Negeri Sembilan sejak 12 Okt hingga Jumaat lalu.

“Geng Dan Lombok ini diketuai lelaki berusia 43 tahun dikenali sebagai ‘Dan’ yang pernah ditahan melakukan jenayah samun pada 2015 dan menjalani hukuman penjara selama setahun serta diusir ke Indonesia,” katanya menurut Harian Metro di IPK Pahang, Kuantan.

Tetapi, katanya lelaki itu kembali ke Malaysia secara haram dan menyamun bersama rakan lain yang tiada dokumen serta pasport.

Yahaya berkata polis berjaya menyelesaikan 14 kes samun dan pecah rumah, iaitu sembilan kes di Pahang, Terengganu (3) dan Negeri Sembilan (2).

Katanya modus operandi mereka ialah menyasarkan rumah jauh dari jalan raya, menyamun barang kemas dan wang tunai serta turut mencederakan mangsa.

Beliau berkata semua suspek direman hingga 25 Okt ini untuk siasatan mengikut Seksyen 395/397/394 Kanun Keseksaan serta Seksyen (6)(1)(c) Akta Imigresen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.