Pasukan Malbatt 850-10 di Lubnan selamat

Pasukan Malbatt 850-10 di Lubnan selamat

Pasukan yang terlibat dalam misi pengaman PBB itu akan kekal di negara berkenaan sehingga arahan selanjutnya dikeluarkan, menurut ATM.

Segala pengarahan dan penugasan pasukan Malbatt 850-10 di Lubnan tertakluk kepada PBB, kata Panglima ATM Jen Mohammad Ab Rahman. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pasukan Malbatt 850-10 yang terlibat misi pengaman di Lubnan disahkan selamat walaupun keadaan tegang di sempadan negara itu susulan konflik Palestin-Israel.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Mohammad Ab Rahman berkata, penugasan pasukan Malbatt 850-10 ketika ini berjalan seperti biasa.

“Alhamdulillah, walaupun keadaan agak tegang di sana (Lubnan), mereka berada dalam keadaan baik dan sihat,” katanya pada sidang media pada Perbarisan Perintah Ulung Panglima ATM ke-22 di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai status keselamatan pasukan tersebut.

Media antarabangsa melaporkan pertempuran membabitkan kumpulan Hezbollah di selatan Lubnan, yang bersempadan dengan Israel, kian memuncak di tengah-tengah konflik Palestin-Israel.

Mohammad berkata, apabila pasukan Malbatt 850-10 dihantar ke Lubnan, segala pengarahan dan penugasan mereka tertakluk kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Justeru, buat masa ini mereka kekal di negara berkenaan sehingga arahan selanjutnya dikeluarkan, tambahnya.

“Mereka (PBB) akan mengeluarkan arahan sama ada Malbatt tetap di sana (Lubnan) atau kita berundur dan sebagainya,” katanya.

Mohammad berkata, sekiranya PBB mengarahkan Malbatt 850-10 berundur, maka pasukan berkenaan telah membuat persediaan untuk diatur gerak ke sebarang penugasan.

Turut hadir Panglima Tentera Darat Jen Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Tentera Udara Jen Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan Timbalan Panglima Tentera Laut Laksamana Madya Zulhelmy Ithnain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.