OKU tinggal seorang diri diselamat sebelum rumah hangus dijilat api

OKU tinggal seorang diri diselamat sebelum rumah hangus dijilat api

Abang mangsa berkata, adiknya dipercayai sedang memasak ketika kejadian, manakala ahli keluarga yang lain tiada di rumah.

Bomba berjaya mengawal api dalam kebakaran di sebuah rumah di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu dalam tempoh 15 minit, sebelum ia merebak ke rumah jiran. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki kurang upaya mental (OKU) yang tinggal seorang diri di rumah berjaya diselamatkan sebelum rumahnya di Kota Bharu, Kelantan, hangus dijilat api petang semalam.

Abang mangsa, Rosni Ghani, 62, berkata, Mohd. Zamri Awang, 49, dipercayai sedang memasak di rumah mereka yang terletak di Kampung Pulau Melaka, manakala seorang lagi adiknya, Zamani, 53, tiada di rumah kerana keluar berniaga.

Rosni berkata, beliau bergegas ke lokasi kejadian setelah dihubungi Zamani mengenai kejadian.

“Ketika saya sampai, Mohd Zamri sudah tiada di rumah selepas diselamatkan oleh penduduk kampung semasa api sedang marak.

“Adik saya bernasib baik kerana sempat diselamatkan oleh penduduk daripada terperangkap dalam kebakaran itu,” katanya, lapor Kosmo.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu Zukeri Shafei berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 4.25 petang.

Lima jentera dengan kekuatan 19 anggota bomba kemudian dikerah ke ke lokasi kejadian, dan api berjaya dikawal dalam tempoh 15 minit, sebelum ia dapat merebak ke rumah jiran.

Punca kebakaran dan kerugian yang dialami mangsa masih disiasat, kata Zukeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.