Henti label individu lain ‘kafir’, ‘zionis’, speaker beritahu Ahli Parlimen

Henti label individu lain ‘kafir’, ‘zionis’, speaker beritahu Ahli Parlimen

Johari Abdul berkata gelaran dan label seperti itu hanya akan mengguris hati dan menjejaskan keharmonian.

Johari Abdul berkata mengikut peraturan mesyuarat 36(10)(c) adalah salah menggunakan perkataan menimbulkan sakit hati atau bermusuh-musuhan di antara satu kaum dengan kaum lain. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul meminta Ahli Parlimen blok kerajaan dan pembangkang tidak lagi menggelar individu lain “kafir”, “zionis” atau mana-mana gelaran ketika berbahas.

Beliau yang mengeluarkan gesaan itu sebelum persidangan bermula pagi ini berkata ia bagi mengelakkan timbul sensitiviti, mengguris hati dan menjejaskan keharmonian antara kaum.

“Padamkanlah isu panas tersebut yang berlaku pada minggu lalu. Biarkanlah perbahasan Ahli-ahli Yang Berhormat berlandaskan isu demi membela nasib rakyat di luar di sana,” katanya di Dewan Rakyat.

Khamis lepas, Syahredzan Johan (PH-Bangi) menghantar usul kepada Pejabat Speaker merujuk kenyataan Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) yang menuduh DAP, sebagai parti kafir.

Syahredzan berkata gelaran itu telah mengguris hati beliau sebagai seorang beragama Islam yang berada di dalam parti itu, dan mahu perkara berkenaan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Johari berkata berdasarkan peraturan mesyuarat 36(10)(c) adalah salah menggunakan perkataan yang menimbulkan perasaan bersakit-sakit hati atau bermusuh-musuhan di antara satu kaum dengan kaum lain.

“Oleh itu saya menyeru semua Ahli Yang Berhormat menghentikan isu dan penyataan ‘kafir’, ‘zionis’ dan ‘Yahudi’ apatah sekarang ini dalam suasana yang tidak kondusif langsung,” katanya.

Beliau turut memberi peringatan kepada wakil rakyat agar isu peribadi yang dibangkitkan di luar Dewan, tidak dibawa ke dalam kamar.

Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) kemudian bangun mencelah: “Saya setuju kalau perkataan tidak ditujukan kepada orang Islam tetapi istilah itu ditujukan untuk bukan Islam, itu semenangnya istilah dikhususkan oleh Allah untuk orang bukan Islam. Kalau ia ditujukan kepada Islam, kita pun tak setuju.”

Mengulasnya, Johari berkata: “Kalau YB ungkapkan pada kawan-kawan kita, dia merasa sedih diri. Cuba sebut orang bukan Islam … itu lebih nyaman disebut dan didengar daripada sebut kafir.

“Mulai hari ini, saat ini saya rayu sangat jangan guna perkataan yang membuatkan mereka merasa sensitif.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.