
Katanya, ia susulan terdapat banyak kekosongan tempat di institusi terbabit bagi sesi akademik 2023/2024.
Bagaimanapun, hanya pelajar mempunyai kelayakan lulus asas boleh dipertimbangkan selain bergantung kepada tawaran sesebuah universiti.
“Saya telah meminta setiap universiti melihat supaya mana-mana pelajar yang layak tetapi tidak mendapat tempat di universiti baru-baru ini untuk ditawarkan walaupun hanya memiliki kelulusan asas.
“Ini adalah supaya tidak ada mana-mana pelajar tercicir dengan universiti memberi peluang sekali lagi kepada mereka. Tiada masalah kerana memang mereka layak, hanya tidak mendapat tempat.
“Seperti di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Pasir Gudang, ia mempunyai kapasiti 4,000 kemasukan pelajar baru tetapi hanya ada dalam 3,100 pelajar ditawarkan.
“Ini bukan makna hendak diisi semua sekali itu, sebaliknya dia mesti layak. Kita beri peluang kepada pelajar tempatan,” katanya selepas merasmikan Kampus UiTM Pasir Gudang, menurut Berita Harian.
Mengulas lanjut Khaled berkata, perkara itu sudah dimaklumkan kepada pengurusan IPTA terbabit.
Katanya, kemasukan atau tawaran kepada pemohon perlu dibuat secepat mungkin bagi mengelak pihak berkenaan tercicir pelajaran.
“Kita tidak boleh longgarkan syarat, kemasukkan tetap berasaskan merit. Tempoh masa tawaran kepada pelajar yang layak ini terpulang kepada universiti.
“Tetapi supaya tidak tertinggal dalam pelajaran, seboleh-bolehnya dilakukan dalam waktu sekarang,” katanya.