Hanya peringatan, kata pemimpin PAS berkait ‘tebuk kapal’

Hanya peringatan, kata pemimpin PAS berkait ‘tebuk kapal’

Presiden Hadi Awang ketika ucapan penggulungan Muktamar PAS ke-69 mengingatkan ahli tidak menjadi 'penebuk kapal' untuk menjatuhkan kerajaan diperintah.

Khairil Nizam Khirudin berkata kenyataan Hadi Awang tidak merujuk sesiapa, manakala Afnan Hamimi Taib Azamudden memaklumkan ia nasihat biasa diulang dalam majlis parti.
PETALING JAYA:
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Khairil Nizam Khirudin menyifatkan kenyataan Presiden Hadi Awang supaya ahli parti tidak menjadi “penebuk kapal” hanya peringatan dan tidak merujuk kepada sesiapa.

Ketika ditanya adakah Hadi mengeluarkan kenyataan itu kerana sudah “menghidu” tindakan berkenaan beliau hanya menjawab tiada.

“Tiada (ahli tebuk kapal). Hanya peringatan,” katanya kepada FMT.

Sementara itu, Ketua Pemuda, Afnan Hamimi Taib Azamudden, berkata ia adalah nasihat biasa untuk ahli PAS yang diulang acap kali sejak dahulu hingga sekarang dalam majlis parti.

“Sebagai peringatan daripada seorang ketua kepada ahli,” kata Ahli Parlimen Alor Setar ketika dihubungi.

Terdahulu, Hadi ketika ucapan penggulungan Muktamar PAS kali ke-69 di Shah Alam mengingatkan ahli parti tidak menjadi “penebuk kapal” untuk menjatuhkan kerajaan diperintah PAS.

Katanya, sekalipun ada kelemahan di negeri diperintah parti itu, semua ahli perlu bersama memperbaikinya bukan bertindak mendedahkan kepada lawan.

PAS menerusi gabungan Perikatan Nasional (PN) bersama Bersatu serta Gerakan kini memerintah Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.