
Perlawanan suku akhir di Jyske Bank Arena menyaksikan Zii Jia menyingkirkan pencabar dari Jepun Kento Nishimoto 21-18, 21-18 dalam pertarungan sengit yang mengambil masa 51 minit.
Juara Terbuka Artik itu dijadual bertemu pemain Hong Kong, Lee Cheuk Yu, yang menumpaskan pemain tuan rumah Rasmus Gemke 21-17, 21-12 dalam satu lagi perlawanan suku akhir semalam.
Dalam pada itu, beregu lelaki negara Aaron-Wooi Yik turut mara ke separuh akhir selepas menewaskan gandingan China, He Ji Ting- Ren Xiang Yu 24-22, 18-21, 21-12.
Pilihan kelima kejohanan yang menghuni ranking keempat dunia itu akan membuat perhitungan dengan pemain tuan rumah Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen di separuh akhir malam ini.
Terdahulu Kim-Anders menyingkirkan satu lagi beregu lelaki negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi 21-19, 11-21, 21-14 pada suku akhir malam semalam.