
Dalam kenyataan, pemimpin DAP itu berkata ia antara tiga perkara perlu dilakukan PAS jika berhasrat mendapatkan sokongan kumpulan pengundi berkenaan.
Beliau mengulas ucapan Hadi pada Muktamar PAS semalam, yang mana Ahli Parlimen Marang itu berkata PAS mesti berusaha memenangi pengundi bukan Melayu dan bukan Islam pada PRU16, selepas mendapat sokongan majoriti Melayu.
Sambil menyifatkan ia “usaha penting dan berat”, Hadi berkata ia penting untuk parti dan Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan pusat selepas pilihan raya.
Lim berkata, memandangkan sentimen agama dan perkauman sering menjadi tunggangan parti politik, penting bagi PAS tampil kepada masyarakat bukan Muslim sebagai parti menghormati hak bukan Islam selaras slogan PAS, “Islam untuk semua”.
“Pertamanya, Hadi Awang dan PAS perlu bersetuju dengan pandangan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular yang menjadikan Islam sebagai agama rasminya, seperti mana yang disyorkan dan diperakui oleh bekas tiga perdana menteri Malaysia pertama sebelum ini, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak (Hussein), dan juga Tun Datuk Hussein Onn,” katanya.
Lim juga menggesa pimpinan PAS berhenti memanggil bukan Muslim sebagai “kafir” kerana perkataan itu memberi persepsi buruk kepada kaum lain, selain mendatangkan kesan buruk dan mengganggu keharmonian masyarakat majmuk.
“Tambahan pula, Hadi Awang juga perlu bersetuju bahawa masalah rasuah di Malaysia adalah masalah yang sudah berakar umbi yang tidak mengenal kaum, dan bukan berpunca dari masyarakat bukan Islam sahaja seperti mana yang beliau nyatakan sebelum ini.”
Pada Ogos tahun lalu, Hadi mencetuskan kritikan selepas mendakwa bukan Muslim dan bukan Bumiputera menjadi punca kepada rasuah dengan menggambarkan kumpulan itu “golongan yang paling besar merosakkan politik dan ekonomi negara”.
Lim menegaskan, kenyataan pukul rata seperti itu tanpa bukti hanya mengeruhkan keadaan dan tidak membantu memupuk budaya perpaduan kaum di Malaysia.